Taklimat Kolej Casuarina, UiTM Cawangan Selangor

Taklimat Kolej Casuarina telah dilaksanakan pada hari Isnin, 20 Mac 2023 bertempat di Surau Ibnu Sina, UiTM Puncak Alam, khusus kepada pelajar-pelajar yang menginap di Kolej Kediaman Casuarina bagi Sesi Mac – Ogos 2023. Program ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Casuarina bersama Sekretariat Perwakilan Kolej (SPK) Casuarina Sesi 2022/2023 dan program ini turut menjemput Pengetua Kolej Casuarina, barisan Staf Residen Kolej (SRK), wakil dari Unit Polis Bantuan dan Penolong Pengurusan Konsesi TRI plc. Tujuan utama Taklimat Kolej Casuarina dijalankan adalah bagi memastikan para pelajar kolej mendapat informasi penting berkaitan pembangunan mahasiswa dan perkhidmatan yang ada disediakan di kolej kediaman.

Selain itu, program ini juga turut dijadikan sebagai platform bagi memperkenalkan Pengetua Kolej Casuarina, barisan SRK dan JPK serta SPK kepada para penghuni kolej Kediaman Casuarina. Taklimat dimulakan dengan ucapan dari Pengetua Kolej Casuarina, Encik Irwan bin Zakaria dan menerangkan fungsi Unit Pengurusan Kolej (UPK), memperkenalkan barisan SRK kepada pelajar serta menyampaikan maklumat berkaitan sistem e-merit yang akan digunapakai untuk melayakkan pelajar mendapat kolej. Pengetua juga memberi peringatan mesra kepada penghuni Kolej Casuarina untuk sentiasa mematuhi setiap peraturan kolej yang telah ditetapkan. Seterusnya, wakil dari JPK iaitu Yang Dipertua, Saudara Azib memberi ucapan dan menyampaikan intipati berkaitan program yang bakal dianjurkan oleh JPK pada semester Mac–Ogos 2023 ini, serta memberi peringatan kepada para pelajar untuk mendaftar barangan elektrik. Taklimat ini juga menjemput wakil pihak konsesi TRIplc, Encik Ahmad Zabidi bin Zainal Abidin untuk menerangkan skop kerja dan fungsi konsesi TRIplc di Kolej Casuarina. Taklimat diteruskan dengan penerangan dari Pegawai Polis Bantuan, Tuan Ahmad Abd Ghani berkaitan AKTA 174, sahsiah rupa diri dan peraturan lalu lintas di seluruh UiTM Puncak Alam.

Taklimat ini juga telah mengadakan sesi soal jawab berkaitan hal-hal kolej dari pelajar kepada tetamu jemputan yang telah diperoleh dari borang pendaftaran. Dengan usaha yang dilakukan ini, diharapkan seramai 849 orang pelajar Kolej Casuarina yang hadir mendapat manfaat dan menjadikan program ini sebagai program yang berimpak positif. Pelajar yang hadir ke taklimat diberikan e-merit sebagai nilai yang akan melayakkan pelajar mendapat penempatan di kolej pada semester akan datang.