Taklimat Pengetua Kolej Angsana, UiTM Cawangan Selangor

Pada 19 Mac 2023 bertempat di Masjid Ibnu Sina UiTM Puncak Alam, telah dijalankan satu Program Taklimat Pengetua Kolej Angsana bagi pelajar-pelajar yang menginap di kolej Kediaman Angsana bagi sesi Mac-Ogos 2023. Program ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Angsana dan program tersebut turut disertai oleh barisan Staf Residen Kolej (SRK) serta wakil dari Unit Polis Bantuan.

Tujuan program tersebut dijalankan adalah bagi memastikan para pelajar kolej mendapat info-info berkaitan pembangunan pelajar dan perkhidmatan kolej kediaman. Selain itu program tersebut juga turut dijadikan sebagai platform bagi memperkenalkan Pengetua Kolej Angsana Encik Irwan Zakaria, barisan SRK dan JPK kepada para penghuni kolej Kediaman Angsana.

Penerangan berkaitan AKTA 174 dan beberapa perturan kolej yang utama turut disampaikan oleh Pengetua agar para pelajar jelas dari segi perkhidmatan kolej dan peraturan sepanjang keberadaan mereka di kolej kediaman. Penerangan berkaitan bidang kuasa Polis Bantuan juga turut disampaikan oleh Tuan Ahmad Abd Ghani, Pegawai Polis Bantuan UCS. Penerangan termasuk berkaitan peraturan kenderaan, keselamatan, sahsiah rupa diri, peraturan jalan raya dan tempoh waktu keluar dan masuk ke dalam kawasan kolej kediaman. Pihak JPK juga turut mengambil bahagian dalam program ini, yang mana Biro Aduan dan Kebajikan telah memberikan beberapa pemakluman berkaitan aduan kerosakan dan saluran yang sepatutnya sekiranya bantuan diperlukan oleh para penghuni kolej.

Dengan usaha yang dilakukan ini, diharapkan 752 orang pelajar Kolej Kediaman Angsana yang hadir ini dapat menjadikan program ini sebagai program yang berimpak kepada mereka disamping kesemua peserta diberikan e-merit sebagai bekalan mereka untuk kemasukan kolej ke semester akan datang.