Sukarelawan Pasca Banjir Universiti Teknologi MARA, Cawangan Kelantan

MACHANG, 22 Disember – Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah menerima lawatan daripada Encik Hirman Awang@Semail, Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi ke Universiti Teknologi MARA, Cawangan Kelantan, Kampus Machang (UiTMCK) pada 21 Disember 2022. Lawatan ini adalah bagi melihat keadaan mahasiswa UiTMCK yang terlibat dengan banjir dan juga memberi sokongan serta kata-kata semangat kepada Sukarelawan Pasca Banjir yang terdiri daripada Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), Majlis Perwakilan Komander (MPK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan staf UiTMCK.

Kehadiran beliau telah disambut baik oleh Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), barisan MPP, dan staf pengurusan UiTMCK. Barisan Sukarelawan Pasca Banjir yang terdiri daripada 47 orang pelajar, 10 orang staf dengan lengkap peralatan bagi kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir, terutamanya dalam kalangan staf dan pelajar UiTMCK.