“Strengthening to Retrofitting: Seismic Resistance of Reinforced Concrete Structures”

Penganjuran Program Webinar Kejuruteraan Awam Siri Ke-3 bagi tahun 2021 oleh Unit Jaringan Industri dan Alumni, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pahang telah berlangsung dengan jayanya dengan bertemakan “Strengthening to Retrofitting: Seismic Resistance of Reinforced Concrete Structures”. Webinar tersebut dijalankan secara atas talian pada 13 November 2021 dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran peserta hampir 50 orang yang terdiri dari kalangan para akademik dan pelajar dari institusi awam dan swasta serta pihak industri. Program webinar ini adalah antara aktiviti yang telah dirancang di bawah usahasama antara Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pahang dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang yang telah ditandatangi pada Disember tahun 2020 yang lalu.

Program yang dikendalikan oleh Puan Aimi Munirah Jalilluddin, pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pahang selaku moderator webinar bermula pada jam 9 pagi. Program dimulakan dengan bacaan doa dari Encik Mior Ahmad Redzuan diikuti dengan ucapan kata aluan oleh Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pahang, Sr. Mohd Razmi bin Zainuddin. Seterusnya, Professor Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan yang menjalankan tugas Rektor dan pihak pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Pahang turut membuat ucapan ringkas bagi memeriahkan lagi program.

Sesi webinar terbahagi kepada dua sesi dengan jemputan dua penceramah iaitu Dr Lee Siong Wee, selaku penceramah yang pertama yang merupakan seorang pensyarah kanan daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pasir Gudang. Beliau telah memberi syarahan selama 1 jam yang bertajuk ‘Potential Use of Engineered Cementitious Composites (ECC) for Seismic Resistant Structures’. Manakala, seorang lagi penceramah yang telah berkhidmat selama hampir 30 tahun di dalam bidang ‘retrofitting’ adalah Ir Parnam Singh dari RNC Repair Speacialists Sdn. Bhd. Slot syarahan beliau adalah kesinambungan kepada sesi yang pertama dengan syarahan yang bertajuk ‘Engineered Cementitious Composites (ECC) for Seismic Retrofitting’.

Webinar yang dijalankan memberi penumpuan khusus kepada potensi penggunaan ‘Engineered Cementitious Composites’ yang lebih dikenali sebagai ECC yang merupakan cetusan idea Professor Victor C. Li dari University of Michigan. Keunikan ECC terletak kepada sifat lentur yang boleh mencapai tahap maksima tanpa mudah untuk retak berbanding konkrit biasa. Ciri tersebut amat digalakkan untuk diambilkira dalam merekabentuk struktur yang dibina di dalam kawasan yang berpotensi untuk mengalami gempa bumi. Walaupun, Malaysia tidak terletak di dalam kawasan ‘Ring of Fire’ tetapi beberapa siri kejadian kesan akibat gempa bumi telah berlaku dalam tempoh 10 tahun yang lepas. Oleh yang demikian, penggunaan ECC dalam merekabentuk struktur serta membaik pulih bahagian-bahagian struktur sedia ada yang telah dikenalpasti masih boleh digunakan dapat ditambah baik dengan kaedah ‘retrofitting’.

Webinar ini bermatlamat untuk memberi pendedahan kepada para peserta berkenaan teknologi terkini dalam bahan binaan yang berpotensi untuk diaplikasikan dalam sektor pembinaan. Malah, program tersebut dapat juga menerapkan minat yang mendalam untuk memahami kaedah merekabentuk serta ‘retrofit’ untuk kelangsungan sesebuah struktur konkrit. Melalui hasil maklumbalas daripada peserta, mereka berharap agar webinar seperti ini dapat diadakan dengan lebih kerap lagi pada masa akan datang.