Sesi ‘Sembang Ofis Kita’ Siri 25 (BPPA), UiTM Shah Alam

Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah berjaya menganjurkan Sesi Sembang Ofis Kita Siri ke-25. Program ini berlangsung pada hari Isnin, 4 April 2022 dengan menggunakan platform Webex secara dalam talian.

Tajuk Sembang Ofis Kita Siri ke-25 kali ini adalah Prosedur ISO BPPA-Pemegang Fail ISO Pengurusan Risiko dan telah disampaikan oleh Puan Siti Mariyani Mohd Dawad, Kerani di BPPA. Program bermula pada 10.00 pagi dengan dimulai ucapan aluan oleh Puan Martini Mat, Pegawai Eksekutif Kanan BPPA.

UiTM terdedah kepada pelbagai ancaman serta isu yang boleh menyebabkan kita gagal untuk mencapai visi menjadi universiti unggul. Oleh itu, ketidakpastian yang berpunca daripada perkara-perkara melibatkan isu, proses kerja, peristiwa atau kesan risiko perlulah diurus dengan sebaiknya agar kelangsungan kecemerlangan UiTM dapat diteruskan.

Pengurusan risiko merupakan satu proses menyeluruh di mana ia dilaksanakan di semua peringkat UiTM. Ia merangkumi proses mengenal pasti peristiwa yang mungkin atau akan berlaku serta tindakan kawalan yang dilaksanakan agar dapat memberi jaminan munasabah ke arah pencapaian objektif UiTM.

Pada sesi perkongsian ini. Puan Siti Mariyani telah menerangkan tentang prosedur ISO baharu 2021 iaitu Prosedur Pengurusan Risiko. Carta Alir Pengurusan Risiko adalah seperti berikut:

a. Penetapan Konteks
b. Mengenalpasti Risiko
c. Menganalisa Risiko
d. Menilai dan Mengkategori Risiko
e. Mengawal Risiko
f. Pemantauan dan Semakan Semula
g. Komunikasi dan Perundingan
h. Daftar Risiko UiTM

Proses pengurusan risiko merupakan proses yang perlu dipraktikkan oleh semua peringkat pengurusan dan sokongan. Ia perlu disemai dan dijadikan sebagai budaya dan praktis dalam pengurusan universiti. Dalam usaha untuk memastikan pengurusan risiko universiti yang mantap, risiko-risiko perlulah dikenalpasti supaya tindakan kawalan yang berkesan dapat diambil.

Di akhir sesi turut berlangsung sesi soal jawab bersama Puan Siti Mariyani dan sesi berakhir pada kira-kira jam 11.00 pagi. Semoga warga BPPA yang hadir dapat memahami proses yang diterangkan dan memanfaatkan ilmu yang telah dikongsi.