Micro Credential UiTM Memperkasa Kredibiliti, Meningkatkan Kebolehpasaran Pelajar

PUTRAJAYA, 12 APRIL 2022 – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk kerjasama dalam Program Rintis “Stand Alone Micro-Credentials’ telah diadakan antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan Institusi Pengajian Tinggi hari ini. Majlis yang berlangsung di Dewan Za’ba, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

UiTM antara lapan Institusi Pengajian Tinggi yang terlibat dalam mempergiatkan usaha untuk merangka bahan pengajian yang fleksibel dan menarik untuk calon yang mengambil kursus jangka pendek ini. Melalui program Micro Credentials ini, pelbagai kursus jangka pendek ditawarkan dan boleh diambil kira sebagai kredit dalam pembelajaran selagi mana ia memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Usaha UiTM untuk menjayakan program micro-credential ini dapat memberi peluang kepada orang awam mengikuti kursus-kursus yang dibangunkan oleh barisan akademik UiTM. Selain itu program ini turut menyerlahkan ketampakan akademik UiTM bukan hanya di peringkat tempatan malah di peringkat global. Projek rintis ini amat penting kepada UiTM kerana pembangunannya dibentuk sendiri dan keberkesanannya akan dapat dilihat dalam masa terdekat.

Untuk rekod, UiTM melalui Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) mempunyai 33 kursus micro-credential yang ditawarkan merangkumi modul teknikal seperti sistem komunikasi gentian optik dan juga modul yang berbentuk serba boleh seperti pembangunan pensanitasi. Terkini, terdapat 56 lagi program micro-credential yang sedang dibangunkan di UiTM.

Memetik ucapan Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini berkata perubahan pantas dalam dunia teknologi pembelajaran hari ini telah mendorong graduan dan staf untuk sentiasa memperkukuhkan kemahiran diri bagi meningkatkan daya saing dari segi upskilling dan reskilling. Beliau menegaskan agar Program Rintis ‘Stand-alone Microcredentials’ ini dapat dilaksanakan dan membuahkan hasil serta mendapat sokongan padu daripada semua pihak melalui perjanjian yang telah dimenterai. Dengan adanya pemerkasaan dalam strategi pendigitalan ini, beliau berharap agar Malaysia bakal menjadi hub pembelajaran dalam kalangan pelajar luar negara pada masa akan datang yang secara tidak langsung dapat memperkasakan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Terkini, negara kita menduduki tangga kedua selepas Australia dalam program Micro Credential dan ini menunjukkan prestasi yang sangat baik untuk dilaksanakan sepenuhnya.

Lapan buah Institusi Pengajian Tinggi yang turut bersama-sama dalam majlis ini adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jabatan Politeknik & Kolej Komuniti (JPKK), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Managemnet Science University (MSU).