Sesi Perundingan Amali Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Pahang dan Kolej Yayasan Pahang

Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) UiTM Pahang Kampus Jengka telah melakukan khidmat perundingan untuk subjek Mekanisasi Ladang untuk para pelajar daripada Kolej Yayasan Pahang. Sesi perundingan latihan amali telah dilakukan pada 21 September 2022 yang bertempat di makmal AE UiTM Pahang. Subjek ini adalah salah satu subjek yang perlu dikuasai oleh pelajar untuk pelajar mengaplikasikan pengetahuan di dalam bidang pembangunan dan pengurusan ladang kelak. Ia juga bertujuan untuk melahirkan pelajar yang bertaraf separa professional dalam industri perladangan.

Muhammad Esyam Bin Adip selaku pensyarah subjek telah diamanahkan untuk menyelaras dan menjadi tenaga pengajar untuk membantu pelajar semasa proses pembelajaran amali dilakukan. Perundingan yang dilakukan ini bertujuan untuk memperkukuh, mempromosikan dan mengembangkan kerjasama akademik atas dasar persamaan dan faedah Bersama antara UiTM Pahang dan Kolej Yayasan Pahang.

Sepanjang sesi amali berlangsung, para pelajar didedahkan dengan pembelajaran teori asas dan dibantu dengan penggunaan model engin untuk setiap sesi amali bagi menambah pengetahuan tentang subjek yang diajarkan. Di samping itu juga, pelajar dibawa untuk melihat secara lebih dekat instrument dan peralatan mekanisasi ladang lain yang terdapat di Unit Pengurusan Ladang UiTM Pahang.

Antara kupasan yang dikongsikan daripada sesi perundingan ini adalah berkaitan dengan Komponen Engin, Engin Dua dan Empat Lejang, Sistem Penyejukan Engin dan Sistem Elektrikal Engin. Pengkongsian maklumat secara terus ini adalah sangat penting untuk melahirkan pelajar berkemahiran dalam industri perladangan kelak. Matlamat dan hasil pembelajaran daripada sesi perundingan ini amat menekankan pembelajaran sepanjang hayat untuk memastikan pelajar dapat memenuhi kehendak pasaran global semasa.