Sesi Libat Urus Naib Canselor UiTM Bersama Warga UiTM Cawangan Selangor

2 Februari 2024 – Sekalung penghargaan diucapkan kepada Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib yang berbesar hati meluangkan masa, mengadakan lawatan rasmi ke UiTM Cawangan Selangor (UCS). Kunjungan beliau disambut oleh YBhg. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor, bersama barisan Pengurusan Kanan UiTM Cawangan Selangor. Sesi lawatan dimulakan dengan perjumpaan bersama ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) UCS bagi memperkenalkan UCS, dan membincangkan langkah serta kaedah pengurusan universiti yang lebih tangkas dan berkesan.

Sesi Libat Urus Naib Canselor UiTM Bersama Warga UiTM Cawangan Selangor turut dijayakan bersempena kunjungan rasmi kali pertama Naib Canselor UiTM ke-7 ke UCS. Pelbagai isu telah dikupas, dan banyak pesanan bermanfaat dititipkan kepada seramai 409 warga UCS yang hadir untuk bertemu dan beramah mesra dengan YBhg. Datuk Naib Canselor.

Sesi ini memberi peluang kepada warga UCS bersua secara bersemuka dan beramah mesra dengan YBhg. Datuk Naib Canselor. Antara topik yang diberi penekanan adalah aspek penjimatan, integriti dan pengoptimum skop tugas warga. YBhg. Datuk Naib Canselor turut berpesan kepada warga UCS agar berkerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh bukan sahaja demi kebaikan universiti, tetapi juga untuk memperoleh keberkatan dalam kehidupan secara menyeluruh.