Program Pengguna Cakna Kelestarian Alam Yang Sihat : Kolaborasi KPDN Perak, MPM dan GPS UiTM Cawangan Perak

Buat julung kalinya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) daerah Manjung, Gerakan Pengguna daerah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bersama persatuan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) sekitar daerah Manjung menggembleng tenaga membersihkan persisiran Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor, Perak. Yang Berbahagia Dato’ Kamalludin bin Ismail, Pengarah KPDN Perak, telah menyempurnakan perasmian program ini pada 18 Disember 2023 yang lalu. Program yang dinamakan sebagai “Program Pengguna Cakna Kepentingan Kelestarian Alam Yang Sihat” telah disertai oleh hampir 50 orang petugas sukarelawan bermula seawal jam 2 petang sehingga 6 petang. Persatuan GPS dari UiTM Cawangan Perak telah menghantar 4 orang pelajar dan 2 orang pensyarah pengiring dengan tujuan menyemai kesedaran betapa pentingnya kelestarian alam sekitar dan usaha melestarikan alam sekitar yang perlu diterap ketika di alam universiti. Objektif utama penganjuran program adalah menyemarakkan konsep lestari iaitu bumi yang lestari digambarkan sebagai persekitaran bumi yang kekal bebas daripada sebarang unsur kerosakan alam.

Sebagai duta kecil kementerian, ahli GPS berperanan memperluas program yang melibatkan kelestarian alam sekitar khususnya kepada pelajar IPT. GPS UiTM Cawangan Perak sentiasa komited dan mengorak selangkah ke hadapan dalam menyahut seruan pengurusan tertinggi universiti untuk memperkasa usaha melestarikan alam sekitar terutamanya di seluruh kawasan kampus. Konsep kelestarian alam sekitar bukanlah tertumpu kepada persekitaran alam tetapi ianya melangkaui usaha penjimatan penggunaan air, elektrik serta menjaga kebersihan dan keceriaan kawasan kampus. Besarlah harapan agar program ini dapat membuka mata pelbagai pihak mengenai kesungguhan GPS UiTM Cawangan Perak dalam usaha melestarikan alam sekitar dan diharapkan usaha murni GPS dapat diperkukuh dengan adanya kolaborasi antara pelbagai pihak samada institusi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis alam sekitar.