Program Disability Equality Training (DET) meningkatkan kesedaran terhadap orang kurang upaya (OKU) dalam kalangan bakal guru, Fakulti Pendidikan UiTM

PUNCAK ALAM, 16 Disember 2023 –  Dalam usaha ke arah membentuk masyarakat Malaysia yang inklusif OKU, Fakulti Pendidikan dengan kerjasama Unit Perkhidmatan OKU (UPO), UiTM telah menganjurkan Program Disability Equality Training (DET) di UiTM Kampus Puncak Alam baru-baru ini. Program tersebut merupakan inisiatif Collaborative Group Collaborative Teaching (CGCT) bagi kursus Pendidikan Psikologi (EDU550) dan telah melibatkan seramai 272 orang pelajar Semester 3 di Fakulti Pendidikan. Ia juga sebahagian daripada pengisian bermakna sempena Sambutan Bulan OKU Peringkat UiTM anjuran UPO. Ia mendukung Akta OKU 2008 dan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 menekankan pemantapan dan pemberdayaan OKU di Malaysia dalam semua aspek kehidupan mereka, termasuklah aspek pendidikan. Matlamat utama program DET ialah mengubah pandangan dan persepsi mahasiswa institut pengajian tinggi di Malaysia terhadap isu ketidakupayaan (disability) disamping dapat mengenalpasti puncanya.

Program separuh hari ini telah dikendalikan oleh Jurulatih DET bertauliah, Encik Fariz Abd Rani daripada Orthovive Sdn Bhd. Beliau yang juga merupakan seorang OKU, mempunyai pengalaman mengendalikan program DET di seluruh Malaysia. Beliau telah berkongsi tentang pelbagai cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU di Malaysia seperti persepsi negatif dan kurang tepat tentang OKU oleh sebahagian masyarakat. Disamping itu, persekitaran yang kurang mesra OKU mewujudkan halangan sosial (social barrier) yang menyukarkan mereka menjalani kehidupan seharian dalam kalangan masyarakat. Sebagai seorang yang menjadi OKU fizikal (kerusi roda) disebabkan kemalangan jalan raya ketika beliau sedang menjalani pengajian di universiti lebih 20 tahun yang lalu, Encik Fariz turut menekankan peranan penting warga masyarakat bukan OKU dalam mengubah tanggapan negatif dan prejudis terhadap OKU serta mengurangkan halangan sosial yang ada supaya mereka boleh hidup dengan lebih berdikari dalam kalangan masyarakat secara inklusif.

Sebagai bakal guru, program ini amat berguna kepada pelajar Fakulti Pendidikan kerana pemahaman dan penerimaan terhadap OKU seeloknya dipupuk seawal usia melalui pendidikan termasuklah di sekolah. Ini kerana sekolah adalah tempat dimana nilai-nilai murni seperti penyayang, hormat-menghormati dan juga adab manusia dibentuk. Oleh demikian, sebagai bakal guru, para pelajar Fakulti Pendidikan mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjayakan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia masyarakat inklusif OKU. Tetamu-tetamu lain yang turut memeriahkan program termasuk Puan Nadia Riza Mahadi dari Orthovive Sdn Bhd, Professor Madya Ts Dr. Roslinda Alias (CDMP) selaku Pengarah UPO UiTM, Puan Noor Sazila Md Sarip, Pegawai Eksekutif UPO UiTM, Timbalan Dekan Akademik Fakulti Pendidikan, Dr Hamimah Hashim dan barisan pensyarah kursus EDU550 Dr Farhana Wan Yunus, Dr Rosilawati Sueb dan Puan Nadia Ainuddin Dahlan.