Program Pemindahan Ilmu dan Tenaga Solar di Masjid Asy Syuja’ah Merlimau Utara, Melaka

MERLIMAU, MELAKA, 6 JANUARI 2024 – Hasrat ahli jawatankuasa Masjid Asy Syuja’ah Merlimau Utara akhirnya menjadi kenyataan apabila 24 set lampu solar berjaya dipasang di sekitar kawasan masjid berkenaan. Satu program “university- social responsibility” (USR), Pemindahan Ilmu dan Tenaga Solar di Masjid@Mosque anjuran Jabatan Alam Bina & Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak. Program ini membantu usaha ahli jawatakuasa masjid untuk menggunakan tenaga solar seterusnya mengurangkan beban kos bil elektrik bulanan masjid.

Program ini berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama ahli Kariah Masjid Asy-Syuja’ah, Merlimau Utara, Persatuan Pelajar Ukur Bangunan (BISA), Persatuan Pelajar Perancangan Bandar Dan Wilayah (TRIPS) Pejabat Jaringan Industri, Masyarakat Dan Alumni (PJIMA) UiTM Cawangan Perak. Seramai 39 orang terlibat dalam program ini termasuk pensyarah dan pelajar membolehkan kesemua 24 set lampu solar dengan kuasa 10watt hingga 200watt dapat dipasang dalam masa setengah hari. Pemasangan dibuat di kawasan sekitar masjid memberi kemudahan pencahayaan dan keselamatan pada waktu malam terutamanya di kawasan letak kereta dan motorsikal, pondok wakaf, sepanjang lampu jalan di sekeliling bangunan masjid termasuk tanah perkuburan dan pintu masuk sekolah rendah agama yang bersebelahan dengan masjid berkenaan.

Usaha murni ini dicetuskan oleh Encik Norhafiz Haron selaku pengerusi Masjid Masjid Asy Syuja’ah, ketika beliau melihat bebanan kos bil elektrik bulanan masjid. Beliau berpendapat sekiranya bil elektrik dapat dijimatkan dan belanjawan tersebut boleh disalurkan kepada keperluan lain di masjid. Hasrat beliau menemukan beliau dengan ketua penyelidik Program Solar@ Mosque iaitu P.M. Dr Sr Nur Azfahani Ahmad yang menerangkan teknologi tenaga solar ini sangat selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (UN SDG 7) iaitu memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki, mampan dan moden untuk semua.

Program serampang dua mata ini berjaya membangkitkan kesedaran kelebihan teknologi tenaga solar kepada masyarakat setempat khususnya kariah masjid dalam penjimatan tenaga elektrik dan pendedahan secara praktikal kepada pelajar-pelajar yang terlibat dalam proses pemasangan set lampu solar berlandaskan ilmu pengetahuan serta inovasi teknologi hijau.

Menurut pengerusi kariah masjid, rentetan daripada program perkongsian ilmu dan teknologi tenaga solar ini memberi inspirasi kepada pihak masjid untuk terus mencari peluang dan ruang agar keseluruhan bangunan masjid dapat menggunakan tenaga solar pada suatu hari nanti.

Editor : Sr. Nazhatulzalkis Jamaludin & P.M. Dr Sr Nur Azfahani Ahmad