Sentuhan Kasih dan Warisan: Mahasiswa Perhubungan Awam Menganjurkan Program Vintaj Untuk Membantu Kanak-Kanak Tahfiz

SHAH ALAM, 9 Julai 2023 – Pelajar tahun akhir jurusan Perhubungan Awam daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam atau lebih dikenali sebagai agensi PRisme telah menganjurkan program “Pasar Loka Klasik” yang merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan keusahawanan pada 9 Julai 2023 (Ahad) yang bertempat di Dewan Mawar Qaseh dan Dataran Mawar, UiTM Shah Alam.

Projek tahun akhir tersebut telah dirasmikan oleh Prof. Madya. Dr. Abd Rasid Abd Rahman, Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, diketuai oleh Hazwien Aifa Hisham selaku Ketua Projek, dengan bimbingan pensyarah, Encik Abuzar Abdul Halim. Program ini bertemakan vintaj bagi tujuan mengumpul dana untuk anak-anak Tahfiz dari Ma’ahad Tahfiz Teduhan Kasih (MTTK) yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.

“Pasar Loka Klasik” tidak hanya bertujuan untuk mengumpulkan dana, tetapi juga untuk membangkitkan kesedaran dan kepedulian dalam kalangan mahasiswa UiTM Shah Alam terhadap tanggungjawab sosial korporat. Selain itu, program ini turut memberi peluang kepada pemilik perniagaan kecil untuk mengembalikan semula rasa nostalgia terhadap barangan antik dengan memupuk penghargaan terhadap budaya tradisional Malaysia dalam kalangan pelajar-pelajar UiTM Shah Alam.

“Program pada hari ini berkonsepkan klasik di mana kita dapat lihat meskipun zaman kian berubah namun retro tetap mendapat tempat dalam hati generasi masa kini,” kata Prof. Madya Dr. Abdul Rasid Abdul Rahman, Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.

“Pasar Loka Klasik” telah menyajikan pelbagai aktiviti menarik yang pasti memikat minat semua yang mengunjung. Antara acara yang menarik termasuk pertunjukan Vespa yang memikat hati, Projek Anak Jantan, Projek Anak Gadis yang anggun, photo booth yang penuh dengan kenangan manis, mewarna batik untuk melahirkan kreativiti, permainan tradisional yang membangkitkan semangat kompetitif, dan persembahan muzik yang mengimbau kenangan.

Lebih kurang 4,000 pengunjung telah datang memeriahkan program ‘Pasar Loka Klasik’ dengan jayanya. Agensi PRisme merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan kepada Ma’ahad Tahfiz Teduhan Kasih. Setiap sumbangan yang diberikan telah mewujudkan impak positif kepada kehidupan anak-anak tahfiz.

Untuk maklumat berkaitan Agensi PRisme boleh didapati dengan melayari akaun Instagram [https://www.instagram.com/prisme.agency/?igshid=MzRlODBiNWFlZA%3D%3D]

Galeri Gambar: