Pencarian Bakat WIRASA Fakulti Sains Kesihatan 2023

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor, 9 Mei hingga 9 Jun 2023 : Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah berjaya menjalankan Program Pencarian Bakat WIRASA Fakulti Sains Kesihatan 2023 yang dijalankan secara bersemuka pada 9 Mei hingga 9 Jun 2023.

Program ini bertujuan mencari mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan yang berpotensi menjadi wakil fakulti dalam Pertandingan WIRASA 2023 anjuran Pusat Kebudayaan UiTM. Hasilnya, FSK berjaya menghantar wakil bagi dua kategori pertandingan iaitu Nyanyian Solo Lagu Melayu Asli dan Tarian Rampaian Tradisional. Pertandingan Nyanyian Solo Lagu Melayu Asli diadakan secara bersemuka pada 15 Jun 2023 di Dewan Kuliah 1, FSK 7 dan bermula 8.00 hingga 11.00 malam manakala Tarian Rampaian Tradisional turut dijalankan secara bersemuka pada 18 Jun 2023 di Dewan Kuliah 1, FSK 7 dan bermula jam 9.45 pagi sehingga 6.00 petang. Kedua-dua Pertandingan ini turut disertai oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TDHEP) Fakulti Sains Kesihatan iaitu Encik Romizan bin Jathin, dua orang wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Fakulti Sains Kesihatan Sesi 2022/2023 iaitu saudari Alya Ellyana binti Zulkarnain dan saudari Nur Izzah binti Arwin, barisan Majlis Tertinggi dan ahli exco persatuan dalaman Sekretariat Mahasiswa Fakulti.

Disamping menjadi wadah mencungkil bakat baharu FSK, program tahunan ini dilihat dapat menyemarakkan lagi nilai kesenian dalam diri mahasiswa selain meraikan aktiviti kebudayaan sekaligus memenuhi keperluan mahasiswa untuk kekal aktif dalam bidang sukan dan kebudayaan. Selain itu, program ini turut memberikan pengalaman, ilmu serta kemahiran seni persembahan dan nyanyian yang boleh digunakan sebagai aktiviti kebudayaan dalam kalangan mahasiswa. Malam Pertandingan Penutup Tarian Rampaian Tradisional telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi MARA iaitu Prof Dr Mohd Sazili Shahibi, turut dihadiri oleh dua orang pengiring yang terdiri daripada Pensyarah Pusat Pengajian Kejururawatan iaitu Ts Dr Sharifah Shafinaz dan Puan Norazlina Md Jazli, dua ahli Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan sesi 2022/2023 iaitu saudari Alya Ellyana binti Zulkarnain dan saudari Nur Izzah binti Arwin, lapan Ahli Jawatankuasa Pelaksana Program dan 13 orang mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan.

Akhir kata, pihak penganjur berharap agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang kerana ia terbukti memberi impak yang positif kepada para pelajar Fakulti Sains Kesihatan terutama dalam bidang kepimpinan dan dapat merapatkan ukhuwah dengan fakulti-fakulti lain juga. Objektif yang dirangka bagi program ini juga berjaya dicapai dan diharapkan dapat memberi faedah kepada semua peserta yang hadir. Semoga usaha dan bakat-bakat yang ditemui dalam Program Pencarian Bakat WIRASA Fakulti Sains Kesihatan 2023 ini akan terus berkembang dan memberikan sumbangan yang bermakna dalam memperkukuhkan kebudayaan dan warisan seni dalam kalangan mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan UiTM.

Disediakan oleh,

FIERHAD AIDIL EROZA BIN MOHD FAIZAL
Pengarah Program
Pencarian Bakat WIRASA Fakulti Sains Kesihatan 2023
Fakulti Sains Kesihatan
Sesi 2022/2023