Program Influencer Talk Show

JASIN, 22 Jun 2023 – Program Influencer Talk Show anjuran Jawatankuasa Sukan Pelajar UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin telah memberikan impak yang positif kepada pelajar. Program yang berlangsung pada 18 Jun 2023, bertempat di Perpustakaan, UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin bersempena UiTM Jasin Open Week telah menampilkan pempengaruh media sosial seperti Tyra Kamaruzzaman dan Nur Ihsan (San Corn) bersama rakan sepasukannya, Makdi dan Zulfikar Obot yang juga dikenali sebagai Obot yang dijemput sebagai penceramah program tersebut dengan mengetengahkan isu kewanitaan dalam dunia sukan dan kerjaya e-sport.

Program yang diadakan secara terbuka ini dapat meningkatkan Indeks Kegembiraan pelajar UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin. Ini adalah berdasarkan pemerhatian yang telah dilakukan dimana kebanyakkan pelajar sudah mulai hilang fokus dan mudah tertekan disebabkan bebanan tugasan yang banyak serta peperiksaan akhir yang semakin hampir. Ketua program bagi Influencer Talk Show, Fazeera binti Mohd Fairoz berkata, aspek pemilihan penceramah jemputan itu dinilai berdasarkan kejayaan mereka dalam bidang masing-masing yang mampu menggalakkan para mahasiswa untuk mencuba benda yang baharu dan relevan dalam zaman milenial ini. Walaupun penyertaan adalah terhad namun ianya telah mendapat sambutan yang memberangsangkan sekaligus memberi impak positif kepada pihak penganjur dan imej yang baik kepada kampus.

Encik Ahmad Khairuman bin Md Hasim, Penolong Rektor UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin berharap agar program berimpak tinggi seperti ini dapat diadakan lagi untuk memberi khidmat kepada komuniti tempatan dan pelajar UiTM. Program-program seperti ini dilihat dapat membina rangkaian antara pelajar universiti bersama pihak luar seterusnya memberi kesan yang mendalam terhadap pembangunan pelajar.

Turut hadir tetamu kehormat iaitu Dr Ismail bin Rakibe, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), Dr Azmi bin Aminordin Koordinator Fakulti, Kolej Pengajian Pengkomputeran Informatik dan Media (KPPIM) dan Encik Muazmer bin Mustapha, Penolong Pendaftar (Kolej).