Karnival STEM 2023

MEMBAKUT, 10 Julai 2023 – Dalam usaha mendepani cabaran revolusi industry 4.0 (IR 4.0) dan juga aspirasi negara dalam menyemarakkan lagi budaya STEM di kalangan rakyat Malaysia terutamanya pelajar-pelajar sekolah, Fakulti Sains Gunaan (FSG) bersama Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri , Masyarakat dan Alumni (BPJIMA) UiTM Cawangan Sabah dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi Sabah (KSTI) mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu program yang dinamakan Karnival STEM 2023. Sasaran program ini adalah untuk menarik minat serta membudayakan subjek STEM kepada para pelajar sekolah dengan aktiviti berkaitan STEM seperti pertandingan inovasi, aktiviti eksperimen dan simulasi.

Program ini juga menjadi platform bagi mahasiswa Fakulti Sains Gunaan (FSG) UiTM Cawangan Sabah untuk bergiat aktif bukan sahaja dalam akademik bahkan juga dalam aktiviti persatuan serta dapat membantu dalam membudayakan STEM di peringkat persekolahan khususnya. Seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 untuk melahirkan modal insan bagi menyokong teras Misi Nasional dalam meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama. PPPM (2013 – 2025) sejajar dengan aspirasi dan misi Matlamat Pembangunan Lestari ke-4 (SDG 4) iaitu berkaitan meningkatkan kualiti Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan ciri-ciri keintelektualan tinggi yang ada dalam masyarakat ini seterusnya akan memperkasakan lagi momentum dalam menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Program ini diadakan pada 8 Julai 2023 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Membakut II dan mendapat kerjasama serta komitmen daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Beaufort, Sekolah Menengah Kebangsaan Membakut II, Petrosains Sdn Bhd, dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC). Karnival STEM 2023 ini disertai oleh 60 peserta tingkatan 3 daripada 11 buah sekolah sekitar daerah Beaufort dan Membakut dan seramai 30 mahasiswa Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Sabah sebagai fasilitator.

Pengisian program pada kali ini menitikberatkan pemahaman teori dan aplikasi dimana ia dapat memupuk kesedaran, minat dan kefahaman terhadap bidang STEM kepada peserta. Secara tidak langsung program Karnival STEM ini dapat membantu dalam membudayakan amalan STEM seiring dengan motto Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi Sabah, “Masyarakat Berbudaya Teknologi Tinggi”.