Islam Agama Tauhid, Keunggulannya Disempurnakan Oleh Raja-Raja

Tauhid satu kalimat yang membawa maksud tunggal yakni menjadi dasar pegangan umat Islam mengesakan Allah S.W.T. Syarat sah sekiranya orang bukan Islam ingin memeluk agama Islam, mestilah bersyahadah dengan kalimat Aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad S.A.W. adalah pesuruhNya. Tauhid satu pegangan akidah yang wajib dipegang oleh seluruh umat Islam. Umat Islam wajib percaya bahawa Allah Maha Esa dan tidak boleh menyekutukanNya dengan sebarang bentuk seperti patung berhala, manusia, dan lain-lain. Firman Allah dalam surah Adh-Dhariyat ayat 56 yang bermaksud; Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Surah an-Nisa ayat 48 mahmunya; Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

Di Malaysia berlaku sedikit isu mengenai kalimah Allah dimana ia telah menggusarkan hati umat Islam yang berpegang kepada kalimat tauhid Allah Yang Maha Esa. Isu kalimah Allah diguna pakai oleh orang bukan Islam sudah lama dibangkitkan. Dari zaman ke zaman, muncul dengan cerita yang sama sehingga ia diibaratkan tiada kesudahan dan tiada jalan keluar untuk menyelesaikannya. Namun, yakin dan fokus bahawa semua masalah mesti ada jalan penyelesaian. Isu kalimah Allah perlu dilihat secara terperinci dalam mengenal pasti dimana kelompongan yang mewujudkan masalah ini, malah tindakan segera perlu supaya kemaslahatan umat tidak menjadi tragedi yang membawa kepada ketidakharmonian dalam negara. Sebelum kita faham apa itu isu kalimah Allah, terlebih dahulu sebagai umat Islam perlu tahu tentang apa itu kalimah Allah.

Allah adalah nama Tuhan yang mulia yang layak disembah. Allah bersifat sempurna, qadim (tiada permulaan dan tiada pengakhiran) dan azali (sejak dahulu kala) itu adalah tanda bahawa Allah dan Dzat atau kekuasaanNya tidak terbatas. Lafaz Allah bukanlah dari lafaz manusia dan ini mematahkan pendapat sesetengah masyarakat yang beranggapan bahawa Allah itu adalah bahasa Arab. Hal ini kerana penggunaan kalimah Allah sudah dilafazkan sejaka zaman Nabi Adam lagi. Nabi-nabi lain sebelum Nabi Muhammad S.A.W. juga menyebut Allah. Walau bagaimanapun Tuhan dalam bahasa Arab disebut “Ilah” dan buktinya adalah kalimah suci yang selalu disebut malah ia menjadi sebahagian daripada syahadah atau tanda seseorang itu beragama Islam, iaitu لآ اِلَهَ اِلّا اللّهُ (Tiada Tuhan Selain Allah).

Melalui wahyu yang diberikan kepada para Nabi, kita dapat tahu bahawa Allah adalah nama yang disebut sendiri oleh Tuhan Yang Maha Agung. Penegasan apa yang diungkapkan tadi kita boleh lihat dalam Surah Taha ayat 14; bermaksud “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada tuhan melainkan Aku, oleh itu sembahlah akan Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku”. Firman Allah di dalam surah ini mengesahkan bahawa Allah bukan satu lafaz atau perkataan yang dicipta oleh manusia. Sebagai orang yang beriman dan bersaksi bahawa Tiada Tuhan Selain Allah, maka rentetan dari kalimah ini boleh dirujuk pada Surah Ali’ Imran ayat 62 yang bermaksud; Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Dulu, kalimah Allah ini sudah menjadi ungkapan biasa yang digunakan oleh orang bukan Islam. Namun ia hanyalah sekadar lafaz yang tidak tersemat dalam diri nurani mereka. Allah yang disebut sebagai Tuhan tidak disembah sama sekali oleh mereka. Allah berfirman di dalam surah al-Ankabut ayat 61 bermaksud; Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)? Dan ayat 63; Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). *Rujuk sekali surah Luqman ayat 25; surah az-Zumar ayat 38; dan surah Zukhruf ayat 87*.

Daripada firman Allah S.W.T., kesimpulannya kita dapat tahu bahawa Allah yang disebutkan oleh mereka tidak selari dengan Allah yang difahami oleh umat Islam (Muhammad Arif Ismail, 2014: 1-19). Mereka mensyirikkan Allah dengan elemen-elemen lain. Konsep Islam adalah Allah itu adalah Tuhan yang Maha Esa dan tiada Tuhan selainnya. Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan (Surah al Ikhlas ayat 3). Justeru kalimah Allah berhak menjadi milik mutlak bagi penganut agama Islam, kerana melihat kepada firman Allah dalam surah al Imran ayat 19 yang bermaksud; Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Dalam konteks pemerintahan negara sudah jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua agama Islam bagi negerinya sendiri, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya) dan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja (Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak). Tidak lupa juga Raja-Raja lain merupakan Ketua agama Islam bagi negerinya sendiri. Maka dengan itu, urusan berkaitan isu ini kita serahkan kepada Kebawah Duli Tuanku Raja-Raja berbincang dan memutuskannya. Sudah pasti akan ada jalan penyelesaiannya supaya isu ini tidak berulang lagi di masa akan datang. Masyarakat perlu jelas, hal ehwal agama di Semenanjung masih tertakluk di bawah enakmen atau undang-undang negeri. Namun ada sedikit kelainan pada pengurusan agama di Sabah dan Sarawak.

Hal ini dapat dijelaskan dengan melihat Perkara 161E; Perlindungan kedudukan dari segi perlembagaan mengenai Negeri Sabah dan Sarawak di mana Fasal 2 (d) memaktubkan tiada pindaan boleh dibuat kepada Perlembagaan ini tanpa persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak berkenaan agama di dalam Negeri itu, penggunaan apa-apa bahasa di dalam Negeri itu atau di dalam Parlimen dan layanan istimewa bagi anak-anak negeri Negeri itu. Namun begitu, ia rentetan daripada syor dan cadangan dari pihak Suruhanjaya Cobbold berdasarkan pungutan suara dari penduduk-penduduk kedua-dua wilayah. Antaranya ialah kuasa menentukan hal ehwal agama dan dasar imigresen diberikan kepada Majlis Undangan Negeri Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Rentetan daripada itu, satu jawatankuasa khas ditubuhkan iaitu Jawatankuasa antara Kerajaan atau lebih dikenali sebagai Inter-Governmental Committee (IGC) telah mengemukakan laporan menyeluruh dan dijadikan asas pindaan Perlembagaan Persekutuan. Antara dasar utama yang ditekankan di dalam laporan yang menjadi tambahan kepada laporan Suruhanjaya Cobbold adalah Islam merupakan agama rasmi kecuali bagi Borneo Utara dan Sarawak (Armizan Mohd Ali, 2020: 102-114).

Walau bagaimanapun, isu kalimah Allah diselesaikan selaras kehendak agama dan perundangan melalui tanggungjawab yang disandang oleh Raja-Raja sebagai Ketua agama Islam. Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah bertitah bahawa baginda selaku Pengerui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) telah mencadangkan bahawa isu ini perlu dibawa kepada MKI pada bulan Ogos 2023 sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja yang dijadualkan pada bulan Oktober 2023 bagi memuktamadkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia. Maka itu, sebagai rakyat Malaysia tidak sepatutnya mengeruhkan lagi keadaan dengan cara mempolitikkan dan membahaskan selagi keputusan oleh Majlis Raja-Raja tidak dikeluarkan (Kenyataan DYMM Sultan Selangor, 7 Jun 2023). Perkataan pada Fasal 1 Perkara 3 sudah terang menyatakan agama lain boleh diamalkan dengan syarat aman dan damai. Maka aman dan damai itu harus kita buktikan dan dikekalkan. Inilah keunggulan Islam di negara Malaysia yang di sempurnakan oleh baginda Raja-Raja selaku Ketua agama Islam.

Kesimpulannya, dasar tauhid yang perlu kita fahami adalah bersifat keharmonian dan kesejahteraan. Islam adalah agama yang menuntut umatnya bertoleransi dengan masyarakat yang lain tidak mengira bangsa, budaya, dan agama. Jelas terbukti bahawa agama Islam menitikberatkan dengan menghormati penganut-penganut agama lain demi mencapai kedamaian dalam kehidupan masyarakat majmuk. Walaupun begitu, umat Islam di Malaysia harus beringat-ingat terlebih dahulu bahawa toleransi yang ditekankan serta penghormatan dibuat terhadap orang bukan Islam hendaklah dilakukan dengan sebaiknya dan tidak membatasi atau melanggar akidah Islam (Nur Farhana Abdul Rahman, 2012: 35-36). Akhir kata, petikan dari kalam Allah yang bermaksud; Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu) (Surah al-Hujurat; ayat 13). Wallahu a’lam.