Seminar Senibina Landskap (TALKS 2.0) 2024

Puncak Alam, 24 Januari 2024 – Bertemakan ”Harmony in Space: Blending Heritage, Nature and Design”, Seminar Senibina Landskap (TALKS 2.0) telah berlangsung dengan jayanya. Seminar tersebut merupakan anjuran bersama Bidang Senibina Landskap, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam dan Program Senibina Landskap, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Penganjuran seminar tersebut telah melibatkan pelajar semester enam (06), Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap (Kepujian) bagi kedua-dua kampus. Dalam memenuhi keperluan subjek Seminar Senibina Landskap (LAN653) mereka memainkan peranan selaku pelaksana dan penganjur seminar tersebut. Mereka turut dibantu oleh pensyarah penyelaras seminar iaitu Dr. Mohd Zahid Mohd Salleh dan Ts. Dr. Shaibatul Islamiah Che Man (Pensyarah Kampus Puncak Alam) serta Profesor Madya Dr. Siti Rasidah Md Sakip dan Ts. Dr. Izham Abdul Ghani (Pensyarah Kampus Seri Iskandar).

Pendekatan yang diambil dalam melaksanakan seminar tersebut adalah secara hibrid. Seminar berlangsung secara bersemuka di Kampus Puncak Alam dengan melibatkan lapan sesi pembentangan selari yang dijalankan serentak. Manakala di Kampus Seri Iskandar, pendekatan yang diambil adalah secara atas talian melalui Webex (yang turut dijalankan serentak bersama pembentangan selari di Kampus Puncak Alam). Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Koordinator Bidang Senibina Landskap, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, iaitu Profesor Madya LAr. Ts. Dr. Nurhayati Abdul Malek. Turut bersama-sama dalam seminar tersebut secara atas talian adalah Ketua Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak, iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Norhafizah Abdul Rahman. Begitu juga dengan penyertaan pensyarah-pensyarah Bidang Senibina Landskap bagi kedua-dua kampus demi menzahirkan sokongan mereka. Seminar tersebut juga, diserikan dengan pengisian yang bermanfaat daripada dua orang Pengucaptama (Keynote Speakers) dalam berkongsi ilmu dan pengalaman mereka. Salah seorangnya merupakan Ketua Departemen Arsitektur Lanskap, Fakultas Pertanian, IPB University iaitu Profesor Dr. Ir. Hadi Susilo Arifin, MS. Manakala seorang lagi adalah Profesor Madya Dr Mohd Fairuz Shahidan yang merupakan pensyarah di Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia. Seusai mendengar perkongsian daripada kedua-dua Pengucaptama (Keynote Speakers), seminar diteruskan dengan sesi pembentangan selari di lapan bilik yang berasingan.

Bagi menghargai hasil cemerlang pelajar dalam bidang penyelidikan, satu majlis penyampaian hadiah turut diadakan di akhir seminar tersebut. Sebanyak empat anugerah dianugerahkan iaitu Kertas Kerja Terbaik yang terdiri daripada seorang pelajar Kampus Puncak Alam dan seorang pelajar Kampus Seri Iskandar. Manakala, Pembentang Kertas Kerja Terbaik turut dianugerahkan kepada seorang pelajar Kampus Puncak Alam dan seorang pelajar Kampus Seri Iskandar demi memupuk persaingan sihat dalam kalangan pelajar. Sebelum itu, ucapan penutup telah disampaikan oleh Dr. Mohd Zahid Mohd Salleh selaku Pensyarah dan juga Penyelaras Seminar Senibina Landskap (TALKS 2.0) bagi sesi kali ini. Kemudian, penyampaian anugerah didahului dengan Anugerah Kertas Kerja Terbaik yang disandang oleh Anastasia Marsha Lina Manisha Binti Aminulrashid dari Kampus Puncak Alam manakala dari Kampus Seri Iskandar dirangkul oleh Nur Adibah Binti Shalehudin. Bagi Anugerah Pembentang Kertas Kerja Terbaik dari Kampus Puncak Alam pula diberikan kepada Nurul Qashrina Bt Mohd Izlan manakala dari Kampus Seri Iskandar disandang oleh Sharifah Puteri Sophia Bt Syed Faisal. Seusai Majlis Penyampaian Anugerah tersebut, maka berakhirlah Seminar Senibina Landskap (TALKS 2.0) bagi tahun 2024. Penganjuran seminar tersebut dapat memupuk dan memotivasikan para pelajar dalam menjalankan sesuatu penyelidikan yang bersistematik dan berimpak tinggi khususnya dalam Bidang Senibina Landskap. Selain itu, dapat melatih para pelajar dalam kemahiran berkomunikasi dengan pemegang taruh dan pengamal industri agar lebih berketerampilan menempuh alam kerjaya bidang Senibina Landskap kelak.

Penulis Utama: Dr. Mohd Zahid Mohd Salleh
Penulis Kedua: Ts. Dr. Shaibatul Islamiah Che Man
Penulis Ketiga: Profesor Madya Dr. Siti Rasidah Md Sakip
Penulis Keempat: Ts. Dr. Izham Abdul Ghani