Seminar Peningkatan Produktiviti Tanaman Nanas Melalui Program Pengajaran Kolaboratif Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Pahang

JENGKA, 15 Jun 2023 – Satu seminar bertajuk “Peningkatan Produktiviti Tanaman Nanas” telah dijalankan dibawah program Pengajaran Kolaboratif bagi subjek Tanaman Perladangan II anjuran Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Seminar ini berfokus kepada pelajar semester 4 Diploma Pengurusan Ladang yang mengambil subjek Tanaman Perladangan II. Seminar yang bermula pada jam 8.00 malam melalui aplikasi Google Meet telah disampaikan oleh Penceramah Jemputan dari Industri Perladangan iaitu En. Syed Syahrum Bin Syed Mokhtar, Executive Farm Operation dari ANZECO Plantation Sdn. Bhd yang juga merupakan alumni UiTM dalam bidang Pengurusan Ladang.

Seminar yang membawa objektif tersendiri ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan berkenaan tanaman nanas yang juga merupakan salah satu topik dalam silibus pembelajaran pelajar bagi subjek Tanaman Perladangan II. Seminar ini dijalankan bagi membantu pelajar untuk mengenalpasti teknik dan cara bagi meningkatkan produktiviti tanaman tersebut disamping untuk menjalin hubungan bersama industri bagi tujuan perkembangan ilmu diantara UiTM dan juga Industri Perladangan. Melalui seminar ini juga ianya dapat membuka minda pelajar dalam melihat perkembangan luar secara terus berkaitan subjek yang dipelajari.

Melalui pengalaman luas yang dimiliki oleh En. Syed Syahrum dalam bidang penanaman nanas, ianya amat membantu para pelajar untuk memahami berkenaan ilmu dalam penanaman nanas serta masalah yang perlu dielakkan bagi menjaga kualiti penghasilan buah. Proses komunikasi dua hala antara pelajar dan penceramah membuatkan sesi perkongsian selama 2 jam setengah ini amat memberi manfaat kepada semua yang terlibat. Program yang tamat jam 10.30 malam disudahi dengan sesi bergambar bersama pelajar, pensyarah dan penceramah jemputan. Semoga program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi kepentingan dan pencapaian para pelajar Diploma Pengurusan Ladang, UiTM Cawangan Pahang.