ALUMNI UiTM SUMBANG 10 EKOR LEMBU KORBAN SEMPENA AIDILADHA

SHAH ALAM, 2 Julai 2023 – Sejumlah 29 ekor lembu dan 18 ekor kambing telah dikorbankan sempena Majlis Ibadah Korban dan Akikah Peringkat UiTM 2023 di Tapak Korban Universiti Teknologi MARA (UiTM). Daripada jumlah tersebut, UiTM telah menerima sumbangan 10 ekor lembu korban sempena sambutan Aidiladha daripada Datuk Haji Mohd Syafiq Haji Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat VFIVE Group Sdn Bhd, yang juga merupakan alumni UiTM.

Ibarat “Sireh Pulang Ke Ganggang” , aktiviti berkongsi rezeki kali ini dijalankan dengan kerjasama UiTM melalui Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI) sebagai anjuran utama dan wakil dari Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang turut serta menerima dan mengagihkan daging korban kepada komuniti kampus di kalangan pelajar dan staf yang tidak berkemampuan. Proses melapah, memotong, membungkus, mengagih dan memasak daging korban tersebut dilakukan di Tapak Korban bersebelahan bekas tapak lapang sasar di UiTM Shah Alam

Majlis yang diadakan ini merupakan anjuran utama sempena sumbangan dari VFive Group ini kepada UiTM telah berlangsung di UiTM Shah Alam. Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut untuk menyumbangkan hasil korban kepada golongan yang memerlukan sempena Hari Raya Aidiladha 2023 (10 Zulhijjah 1444H). Datuk Haji Mohd Syafiq merupakan alumni yang telah berjaya yang ingin menyumbang dan berbakti kembali kepada UiTM semula. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dan Pemasaran UiTM.

Prof. Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dalam ucapannya, menyatakan bahawa hasrat para alumni untuk berkongsi rezeki dan kembali berbakti kepada UiTM amat dihargai dan dialu-alukan. Dengan jumlah alumni UiTM yang direkodkan sehingga 23 Jun 2023 seramai 70,7200* orang, tentunya ada ruang yang amat besar memperluaskan peluang latihan industri, tawaran kerjaya, perkongsian ilmu, keusahawanan serta bantuan kewangan atau tajaan pendidikan bagi menyerlahkan potensi yang akan membentuk masa hadapan yang lebih cemerlang.

Antara yang turut hadir di majlis tersebut adalah Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi Timbalan Naib Canselor (HEP); Professor Ts. Dr Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi); Prof. Dr Mohamad Hariri Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri Komuniti dan Alumni) serta barisan Pengurusan Kanan universiti.

Diharapkan perkongsian rezeki dari VFive Group pada hari ini menghasilkan kolaborasi bersama UiTM yang akan mengembangkan jaringan strategik yang dapat mempertingkat bakat graduan untuk lebih berdaya saing berdepan cabaran kerjaya masa kini.