Program Rise Together With FPA (Siri 2) “Perkongsian Alumni: Realiti Budak Ladang

Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah mengadakan satu program bertajuk Program Rise Together With FPA (Siri 2) “Perkongsian Alumni: Realiti Budak Ladang. Program ini telah diadakan pada 17 Mei 2023 (Rabu), jam 8.00 – 10.30 malam bertempat di Dewan Al-Biruni 1, UiTM Pahang.

Program ini telah dihadiri oleh 215 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Pra Diploma Agroteknologi (AT001/002) dan pelajar Diploma Pengurusan Ladang (AT110) serta 13 orang pensyarah FPA selaku Penasihat Akademik (PA). Koordinator Pengurusan Ladang, Cik Nurulatika Minhad bertindak sebagai Penasihat Program serta saudara Muhammad Farith Firdaus Hasnul’sham, pelajar semester 4 sebagai Pengarah Program. Majlis dimulai dengan kata aluan daripada Ketua Pusat Pengajian (KPP) FPA iaitu Ts Fazidah Rosli.

Program ini telah mendapat kelulusan beserta bajet daripada Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) UiTM Cawangan Pahang. Penceramah jemputan merupakan Pengurus Ladang Felda iaitu Encik Esmadi bin Ibrahim yang juga merupakan alumni Diploma Pengurusan Ladang. Program ini telah berjaya mencapai 2 petunjuk prestasi iaitu PI080: Number of alumni expert service programme dan PI030: Number of companies involved in career activities.

Program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang realiti sebenar kehidupan di ladang. Penceramah telah berkongsi pengalaman bersama para pelajar tentang rutin harian serta keadaan sebenar pekerjaan di ladang yang memerlukan jati diri dan disiplin yang jitu. Pelajar juga telah didedahkan dengan halatuju mereka selepas menamatkan pengajian.

Antara objektif program ialah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi terhadap realiti pekerjaan di ladang atau estet serta berkongsi pendapat, pengalaman dan cabaran yang dihadapi ketika bekerja dalam sektor perladangan bersama pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi. Selain itu, program ini juga berhasrat untuk memberikan peluang kepada para pelajar untuk bertemu dan berbincang dengan PA masing-masing supaya dapat merancang pengajian dengan lebih licin.

Program Rise Together With FPA (SIRI 2) “Perkongsian Alumni: Realiti Budak Ladang ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai segala objektif yang telah digariskan. Penganjuran majlis ini juga telah memberi manfaat kepada semua mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Perladangan & Agroteknologi supaya lebih bersedia mental dan fizikal bagi menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan. Program ini telah membuka mata dan minda para pelajar terhadap situasi bekerja di ladang serta peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam sektor perladangan ini.