PROGRAM PEMBINAAN JATI DIRI PELAJAR ASNAF UiTM 2023

KUANTAN, 5 Julai 2023 – Pada 12 Mei hingga 14 Mei 2023 yang lalu, bertempat di Kem Akademi Azam, Kuantan, Pahang, sebuah program bina insan bagi pelajar-pelajar asnaf UiTM telah diadakan. Program Pembinaan Jati Diri Pelajar Asnaf yang berobjektifkan 1) mempertingkatkan jati diri dan kualiti pelajar asnaf yang akan menyumbang kepada kecemerlangan diri, 2) mengembangkan daya berfikir pelajar asnaf agar lebih kreatif dalam menangani kehidupan yang semakin mencabar dan 3) membentuk pelajar yang berdaya tahan dan berkeyakinan diri melalui nilai-nilai yang dikongsi bersama (shared values) ini diharapkan dapat menghasilkan para pelajar yang lebih berketerampilan dalam kehidupan kampus dan alam kerjaya kelak.

Program yang telah dianjurkan oleh Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf UiTM Cawangan Pahang dan Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM Shah Alam dengan kerjasama ACIS dan MASMED UiTM Cawangan Pahang ini diketuai oleh Ybrs. Ustaz Wan Azmi Wan Ahmad. Program ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 66 orang pelajar asnaf UiTM Cawangan Pahang dan 16 orang pelajar asnaf UiTM Shah Alam.

Program yang berorientasikan 40% in-door dan 60% out-door ini telah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, antaranya adalah team building game, senaman pagi di tepi pantai, night walk dan ceramah motivasi keusahawanan. Team building game yang dijalankan pada hari kedua terdiri daripada tiga permainan yang dinamakan taat, kompas dan ukhuwah. Hasil daripada permainan ini telah melatih sifat kepimpinan dan menanam nilai-nilai murni di dalam diri para peserta seperti bekerjasama, sabar, tabah dan hormati menghormati.

Diharapkan program sebegini akan dianjurkan lagi di masa hadapan kerana program pengukuhan jati diri ini amat penting dalam membentuk personaliti terbaik di kalangan generasi muda yang bakal memacu negara di masa hadapan dan seterusnya merealisasikan aspirasi kejayaan negara.