Majlis Penghargaan Atlet dan Jurulatih Kejohanan Ping Pong Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Maran, Pahang

MARAN, 5 Julai 2023 – Majlis penghargaan atlet dan jurulatih Kejohanan Ping Pong Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Maran, Pahang telah berlangsung pada 26 Jun 2023 (Isnin), pada jam 8.00 pagi bertempat di dewan Sek. Men. Keb. Desa Jaya, Maran, Pahang. Majlis ini diadakan bertujuan untuk menyampaikan penghargaan kepada atlet dan jurulatih yang terlibat dalam Kejohanan Ping Pong MSSD Maran yang diadakan pada 15 Jun 2023. Majlis tersebut turut disertai oleh guru-guru penolong kanan, guru-guru dan para pelajar Sek. Men. Keb. Desa Jaya.

Majlis tersebut telah dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis, diikuti dengan ucapan daripada pengetua Sek. Men. Keb. Desa Jaya, Tuan Haji Adnan bin Othman. Beliau kemudiannya telah berbesar hati menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada Encik Mahathir bin Mahali, pensyarah kanan UiTM Cawangan Pahang selaku jurulatih pasukan ping pong Sek. Men. Keb. Desa Jaya. Encik Mahathir juga telah dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata bagi memberikan semangat kepada para atlet agar terus berusaha mengembangkan bakat mereka dalam sukan ping pong. Beliau turut menzahirkan rasa bangga di atas pencapaian atlet-atlet ping pong Sek. Men. Keb. Desa Jaya yang dibimbing oleh beliau dan rakan-rakan di bawah Projek Pembangunan dan Pemantapan Sukan Ping Pong Pelajar-Pelajar Sekolah Daerah Maran yang bermula sejak 1 Februari 2023.

Cenderahati dan sijil penghargaan juga turut disampaikan kepada adik Muhammad Syahmim bin Abdul Rahman, pelajar Tingkatan 2 Sek. Men. Keb. Desa Jaya yang telah berjaya mendapat naib johan dalam Kejohanan Ping Pong MSSD Maran bagi kategori bawah 18 tahun.