Seiring Sejalan: Aktiviti Perjumpaan Penasihat Akademik Bersama Pelajar

Fungi Penasihat Akademik adalah sangat penting dalam sistem akademik di Universiti Teknologi MARA. Seperti yang diwar-warkan di mana Penasihat Akademik memainkan lima fungsi utama iaitu sebagai penasihat, sebagai orang tengah, sebagai pemantau, sebagai pembimbing dan akhir sekali perlu berpengetahuan. Berdasarkan kepada kepentingan peranan Penasihat Akademik ini, Fakulti Pengurusan Perniagaan melalui Biro Pemantapan Akademik (PEMANTAP) sedang menjalankan satu program yang diberi nama Seiring Sejalan. Program ini bertujuan untuk menemukan Penasihat Akademik yang terdiri dari pensyarah dengan pelajar seliaan mereka untuk berkenal dan beramah mesra.

Pada semester ini, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTMCP Kampus Raub menerima pelajar Bahagian Satu yang agak ramai. Terdapat lebih kurang 23 kumpulan bagi kedua-dua program Diploma Pengurusan Perniagaan dan Diploma Perbankan. Justeru, bagi memudahkan tugas penasihat akademik, setiap pensyarah dijadikan Penasihat Akademik bagi setiap kumpulan. Dengan menyelia satu kumpulan, kerja-kerja pemantaua dan bimbingan juga menjadi lancar dan seterusnya merapatkan hubungan pelajar dengan Penasihat Akademik.

Bermula dari 3 November 2023 dan dipanjangkan sehingga 10 Disember 2022, Penasihat Akademik di FPP UiTMCP diberikan kebebasan untuk mengatur pertemuan dengan pelajar seliaan masing-masing terutamanya pelajar Bahagian Satu bagi semester 20224. Berdasarkan kepada borang soal selidik yang diedarkan kepada Penasihat Akademik, PEMANTAP mendapat maklum balas yang sangat positif. Ini adalah disebabkan oleh pelajar Bahagian Satu ambilan September 2022 adalah lepasan SPM dalam tempoh PKP. Di saat negara di serang virus Covid-19 ditambah lagi dengan kawalan pergerakan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia, pelajar ambilan kali ini amat teruja sekali memasuki UiTM dan menjalani proses pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka.

Maka, pertemuan ini adalah amat-amat penting sekali kepada para pelajar selain dapat berkenalan dengan Penasihat Akademik dan rakan-rakan baru. Program Seiring Sejalan juga memberi peluang kepada Penasihat Akademik untuk menjelaskan gaya hidup di UiTM, peraturan-peraturan asas berkaitan dengan akademik seperti pemarkahan dan sistem peperiksaan, serta nilai budi dan adab yang perlu diamalkan ketika menuntut di UiTM. Adalah diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan cara berbeza seperti contoh sukaneka mahupun sukan rakyat.