Sesi Ramah Mesra Bersama Alumni UiTM Dalam Meraikan Graduan Sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-95

SHAH ALAM, 26 NOVEMBER 2022 – Seramai 15 orang alumni hadir meraikan seramai 116 graduan UiTM dalam Sidang Pertama sempena Istiadat Konvokesyen UiTM yang ke- 95. Pusat Jaringan Alumni (ANC) di bawah Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) yang merupakan Jawatankuasa Induk Sambutan Alumni amat berbesar hati dengan kehadiran alumni UiTM yang terdiri daripada Presiden/ Pengerusi / Wakil Persatuan-Persatuan Alumni UiTM, alumni daripada Majlis Alumni Universiti Awam, alumni daripada industri, alumni usahawan, dan lain-lain. Turut hadir meraikan majlis adalah Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohamad Hariri Haji Abdullah, Timbalan Naib Canselor ICAN dan seluruh warga ICAN.

Alumni UiTM yang hadir adalah wakil kumpulan graduan pada tahun 1970-an hingga tahun 2000 dan ke atas. Simbolik kehadiran alumni UiTM pada sesi ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada alumni selain memperkukuhkan ukhuwah dan menyatukan alumni UiTM agar dapat memaksimumkan inisiatif untuk memperkukuh, mempromosi dan membangun berdasarkan konsep 3 Degrees of Separation: Akademik – Industri – Komuniti, dalam kalangan kakitangan akademik dan bukan akademik, pelajar serta alumni untuk meningkatkan lagi kerjasama rangkaian antarabangsa UiTM.

“Saya ucapkan terima kasih kepada UiTM kerana tidak melupakan kami walaupun kami telah lama meninggalkan UiTM dan tetap menjemput para alumni untuk datang bersama-sama meraikan graduan yang baharu” ucap wakil alumni, En. Khairul Amin Abdullah, Peguam, Tetuan Amin, Nizam & Rohani, graduan LLB (Hons.), DLSA, LLM (2003-2021).

“Kembali ke UiTM ini merupakan satu penghormatan yang sangat tidak ternilai. Terima kasih UiTM, UiTM dihatiku” ucap En. Mohd Saffiri Ibrahim, Ketua Seksyen Jaringan Alumni, Universiti Malaysia Kelantan, graduan Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat (2007).

“Apabila mendapat jemputan daripada UiTM ini, saya amatlah berbesar hati. Terima kasih dan saya harap suatu hari nanti UiTM boleh melahirkan lagi ramai anak muda untuk meneruskan perjuangan mereka hingga ke akhir hayat” kata Pn. Siti Syafinah Amirah binti Salleh, Le Rimbun Business, graduan Sarjana Sains Kejuruteraan Pembinaan (2020).

Para alumni UiTM yang hadir turut terlibat dengan Perarakan Alumni di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam dan Majlis Santapan Diraja bersama Pro-Canselor UiTM, Duli yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Pejabat ICAN merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua alumni dari pelbagai bidang meliputi alumni tahun 1970-an hingga 2000 ke atas yang sanggup hadir memeriahkan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-95. Diharap ikatan ukhuwah yang terjalin dapat meningkatkan sinergi kebersamaan antara para alumni dan UiTM.