Seeds Fakulti Pendidikan Santuni Golongan Asnaf Melalui Program Kasih Ramadan

PUNCAK ALAM, 15 April 2023 – Science Education Society (SEEDS) di bawah Fakulti Pendidikan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah menziarahi 15 buah rumah di sekitar Kampung Kuantan, Klang bagi menyampaikan kit sumbangan sempena bulan Ramadan. Isi rumah terpilih merupakan keluarga dari golongan asnaf yang telah dikenalpasti oleh Baitulmal Selangor bagi menerima bantuan melalui Program Kasih Ramadan bagi tahun 1444H/2023.

Tujuan Program Kasih Ramadan ini dijalankan adalah bagi membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan pada bulan Ramadan yang mulia. Selain itu, program ini dijalankan bagi mendedahkan para mahasiswa dan mahasiswi kepada aktiviti sukarelawan serta meningkatkan kerjasama dalam kalangan pelajar Fakulti Pendidikan terutamanya dalam kalangan ahli SEEDS.

SEEDS merupakan persatuan dalaman Fakulti Pendidikan yang terdiri daripada pelajar Pendidikan Sains Fizik, Biologi dan Kimia. Secara umumnya, Program Kasih Ramadan ini dianjurkan oleh SEEDS bermula daripada 24 Mac 2023 sehingga 14 April 2023. Program ini bermula dengan pengumpulan dana bagi membeli bahan-bahan sumbangan berbentuk keperluan asas seperti bahan makanan dan juga duit raya kepada golongan asnaf tersebut bagi menyambut Hari Perayaan Aidilfitri 2023/1444H. Hasil kutipan sumbangan daripada kalangan para pensyarah, pelajar, ahli keluarga dan orang awam kemudiannya diagihkan kepada 15 buah rumah yang terpilih. Sumbangan telah disampaikan oleh 8 orang wakil pelajar Fakulti Pendidikan yang terdiri daripada pelajar SEEDS dan ahli jawatankuasa Program Kasih Ramadan.

Memegang erat kata-kata daripada Mantan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek bahawa para belia harus diasuh dan dididik agar memainkan peranan penting dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Justeru itu, SEEDS mengambil inisiatif dengan menjalankan Program Kasih Ramadan bagi menyantuni mereka yang memerlukan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Diharapkan dengan usaha kecil ini dapat meringankan sedikit beban mereka dan semoga Program Kasih Ramadan dapat dijalankan lagi pada masa akan datang. Semoga segala usaha pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Kasih Ramadan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung mendapat keredaan daripada Allah SWT.