Institusi Raja Pemegang Amanah Menjaga Agama Islam

Institusi beraja di Malaysia sudah lama menjaga, melindungi dan mempertahankan agama Islam. Penjajah silih berganti, namun Islam masih kekal di bawah kelolaan baginda tuanku. Pada abad ke-15, institusi kesultanan menjadi titik tolak kepada penyebaran agama Islam di Semenanjung Tanah Melayu. Penyebaran agama Islam dibuat begitu mudah kerana sifat keterbukaan dan tawaduknya raja pemerintah dalam menyebarkan risalah tauhid kepada rakyat jelata.

Sudi memetik petikan titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak ke-35;

“Urusan agama Islam dan adat Melayu terus berada di bawah kuasa mutlak Sultan. Kuasa raja pemerintah dalam urusan agama Islam dan adat Melayu tidak pernah diserahkan kepada mana-mana pihak lain, termasuk ketika negeri di Tanah Melayu berada di bawah pengaruh pentadbiran British dan pemerintahan penjajahn Jepun. Demikian pula selepas negara mencapai kemerdekaan, urusan agama Islam dan adat Melayu kekal di bawah bidang kuasa raja pemerintah di negeri masing-masing.”

[Titah Persidangan ke-171 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak: 2010]

Urusan agama Islam tidak pernah bertukar milik walaupun semasa zaman kolonial negara ini dikawal oleh orang asing. Kembali kepada sejarah, perjanjian demi perjanjian antara British dengan Raja-Raja, yang selalu ditekankan sejak dulu lagi bahawa perjanjian yang dibuat ialah menuntut bahawa Raja-Raja mestilah menerima nasihat Inggeris dalam hal-hal pentadbiran negeri kecuali hal-hal yang berkaitan dengan adat istiadat dan agama Islam. Waima semasa zaman Malayan Union yang difahamkan satu pentadbiran secara total oleh British hasil dimana istilah peranan yang digunakan dalam perjanjian, ‘nasihat’ ditukar kepada ‘mentadbir’, namun masih lagi hal-hal berkaitan adat istiadat dan agama Islam, tidak dikendalikan oleh British.

Jelas dari rentetan sejarah ini, hal berkaitan dengan agama Islam tidak langsung diuruskan oleh kuasa British. Ada yang berpendapat hal ini adalah tanda British menghormati kuasa Raja-Raja sebagai raja pemerintah yang berdaulat.

Bukti kekekalan ini telah dimaktubkan di dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan. Perkataan yang digunakan secara harfiah menjelaskan bahawa kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam. Walaupun Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara Persekutuan mengikut Perkara 32, baginda hanya mengalas tanggungjawab sebagai Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Negeri baginda sendiri serta negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja iaitu Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Peruntukan Perkara 3 ini secara harfiah menyatakan bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan dan diketuai oleh Raja-Raja Pemerintah. Dalam pada masa yang sama, ia tidak pernah menidakkan hak orang bukan Islam untuk menganuti agamanya sendiri. Inilah formula kedamaian, keharmonian, dan kesejahteraan digunakan di Malaysia, negara yang mempunyai masyarakat pelbagai latar belakang. Sehingga ia menjadi contoh buat negara lain yang mempunyai masyarakat majmuk.

Kesimpulannya, apa yang dijelaskan tadi membuktikan bahawa Raja-Raja sangat berperanan dalam melindungi dan memelihara agama Islam dan tanpa mengetepikan masyarakat bukan beragama Islam. Generasi muda harus tahu perkara asas seperti ini supaya pada masa akan datang, institusi monarki ini tetap utuh. Asas utama pembentukan negara Malaysia adalah Islam dan masyarakat Melayu (Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215: 2008) maka dengan itu cintai dan sayangilah Raja kita, demi kesucian agama Islam serta perpaduan masyarakat.