Saringan Kesihatan Berkala: Sedar Sebelum Parah

BERTAM, 15 Ogos 2023 – Unit Kesihatan Universiti Teknologi Mara Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam (UiTMCPP Kampus Bertam) dengan kerjasama Gribbles Pathology telah menganjurkan Program Pemeriksaan Kesihatan kepada staf di dalam kampus pada 15 Ogos 2023. UiTMCPP Kampus Bertam sebagai kampus kesihatan yang mempunyai 2 fakulti iaitu Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Farmasi sangat sinonim dengan promosi kesihatan yang menggalakkan gaya hidup sihat. Justeru, aktiviti pemeriksaan kesihatan adalah sebagai wadah dan komitmen staf untuk menjadi contoh kepada masyarakat sekeliling.

Objektif program ini adalah untuk memberi peluang kepada staf mengetahui tahap kesihatan melalui ujian darah yang spesifik seperti kandungan gula, kolesterol, penanda kanser, ujian fungsi hati, ujian fungsi tiroid, kiraan darah lengkap dan ujian kandungan air kencing serta banyak lagi ujian mengikut kesesuaian individu. Kesedaran kepada pengesanan awal sangat penting terutamanya untuk penyakit-penyakit yang menjadi pembunuh senyap seperti kanser, diabetes, penyakit jantung koronari dan hipertensi, kerana penyakit ini biasanya tidak menunjukkan tanda dan gejala awal.

Klinik Kesihatan Penaga juga bersama-sama di dalam program ini selaras dengan kempen Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan yang mensasarkan individu berumur 40 tahun ke atas atau individu yang mempunyai risiko penyakit kronik. Promosi kesihatan begini menggalakkan masyarakat mendapat pencegahan awal dan mendapat rawatan lebih awal sebelum penyakit menjadi lebih teruk dan seterusnya mengelakkan daripada komplikasi penyakit. Staf Klinik Kesihatan Penaga yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan telah menjalankan pemeriksaan indeks jisim tubuh, tekanan darah, paras gula dalam darah, paras kolesterol dalam darah dan konsultasi secara percuma kepada lebih kurang 50 orang staf UiTMCPP Kampus Bertam yang terlibat di dalam program ini.

Program seperti ini memberi banyak kelebihan kepada staf kerana tidak perlu meninggalkan kampus dan menunggu giliran yang lama untuk mendapatkan saringan. Kadangkala setengah individu menjadikan tempoh masa menunggu giliran di klinik kesihatan sebagai alasan untuk tidak menjalankan pemeriksaan kesihatan. Galakan dan sokongan daripada rakan setugas dan persekitaran yang lebih mesra dapat membantu staf secara psikologi sedar akan peri pentingnya menjalankan pemeriksaan awal tanpa paksaan. Staf UiTM yang terlibat telah dinasihatkan untuk membuat persediaan awal sebelum saringan dijalankan, seperti berpuasa sekurang-kurangnya 10 jam sebelum mengambil sampel darah.

Inisiatif saringan begini perlu diteruskan secara berkala pada masa akan datang kerana kesedaran dan pengesanan awal akan memberikan impak yang sangat besar kepada individu dan organisasi secara tidak langsung. Bebanan kepada staf, keluarga, organisasi dan juga kos perubatan yang tinggi dapat dielakkan dengan adanya kesedaran pengesanan awal.