Sambutan Kemerdekaan 66 tahun/ Hari Malaysia Peringkat UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 10 September 2023 – Pada 07 September 2023, Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang dan Kampus Kota Bharu telah bersama-sama mendukung setiap aspirasi negara dengan pelbagai aktiviti yang dirancang bagi menyemarakkan Sambutan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang. Antara program yang telah dijalankan adalah Pelancaran Kayuhan Santai Komuniti Merdeka, Kuiz Kemerdekaan, Ceramah Kemerdekaan yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Machang 1, dan penyerahan bendera berlangsung di sekitar laluan Kayuhan Santai Komuniti Merdeka.

Program Sambutan Kemerdekaan 66 Tahun/ Hari Malaysia Peringkat UiTM Cawangan Kelantan ini merupakan program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Machang 1 dan Jabatan Penerangan Daerah Machang. Program Kayuhan Santai Komuniti Merdeka, Kuiz Kemerdekaan dan Ceramah Kemerdekaan adalah cetusan idea daripada jawatankuasa pelaksana Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Program Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia akan terus dijayakan setiap tahun secara bergilir-gilir mengikut bahagian dan fakulti yang bertujuan agar pengisian aktiviti lebih meluas, kreatif dan versatile dengan kepelbagaian ilmu, kepakaran dan pengalaman di setiap bahagian mahupun fakulti.

Pengisian program ini berlangsung dari jam 8:30 pagi dengan Majlis Perasmian Sambutan Kemerdekaan 66 Tahun/ Hari Malaysia Peringkat UiTM Cawangan Kelantan bertempat di perkarangan pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang. Antara aktiviti yang berlangsung ialah ucapan perasmian oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan, laungan keramat MERDEKA, nyanyian patriotik dan kibar jalur gemilang serta pelepasan kayuhan santai komuniti merdeka. Penyertaan dalam perasmian dihadiri oleh semua warga UiTM dan termasuk delegasi kayuhan merdeka.

Program Kayuhan Santai Komuniti Merdeka yang disertai seramai 40 orang staf UiTM Cawangan Kelantan dan diketuai oleh Rektor telah berlangsung sekitar jam 9:00 pagi bermula dari UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang ke destinasi Sekolah Kebangsaan Machang 1. Jarak 14 km pergi dan balik dengan bantuan Unit Trafik dan Pegawai Polis IPD Machang telah memudahkan perjalanan serta kawalan kayuhan santai komuniti merdeka tersebut. Seramai 10 orang anggota unit trafik dan pegawai polis IPD Machang bekerjasama dalam program kayuhan ini telah dapat merealisasikan objektif kayuhan dengan mendekati masyarakat. Majlis pelancaran perasmian Kayuhan Santai Komuniti Merdeka, Kuiz Kemerdekaan dan Ceramah Kemerdekaan telah berlangsung secara gilang gemilang di Sekolah Kebangsaan Machang 1. Perasmian program kayuhan ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Tarian Pembukaan oleh murid SK Machang 1, senamrobik merdeka oleh Z Fitness, ceramah kemerdekaan disampaikan oleh Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan yang juga merupakan penasihat program, kuiz kemerdekaan dikendalikan oleh Unit Kerjaya & Kaunseling, dan nyanyian patriotik kemerdekaan serta serahan wakaf buku sempena bulan kemerdekaan yang disumbang oleh warga UiTM Cawangan Kelantan melalui Perpustakaan Tengku Anis (PTA) kepada Pusat Sumber Fatimah Az Zahraa SK Machang 1 iaitu sebanyak 116 naskhah buku yang terdiri dari bahan Al-Quran, bacaan umum dan juga majalah yang merupakan antara aktiviti yang berlangsung di SK Machang 1. Seramai 360 orang murid tahap 2, pengurusan kanan PK KO, PK HEM dan barisan guru-guru SK Machang 1 turut hadir memeriahkan majlis perasmian Kayuhan Santai Komuniti Merdeka tersebut. Penyertaan seramai 450 orang melibatkan kerjasama, sinergi dan kolaborasi antara warga UiTM Cawangan Kelantan, delegasi kayuhan merdeka, warga SK Machang 1 dan Unit Trafik serta pegawai polis mendapat sambutan yang baik dalam program ini.

Sekitar jam 12:30 tengah hari, delegasi Kayuhan Santai Komuniti Merdeka telah kembali ke UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang dengan kawalan dan iringan daripada Unit Trafik dan pegawai polis yang diketuai oleh Inspektor Khairulnuar, IPD Machang. Majlis penutupan program Kayuhan Santai Komuniti Merdeka sempena Sambutan Kemerdekaan 66 tahun/ Hari Malaysia peringkat UiTM Cawangan Kelantan telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal pelajar, Meer Zhar Farouk Amir Razli. Menjadi harapan sebagai penganjur utama Bahagian Hal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan, Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini diadakan sebagai tanda bahawa seluruh warga UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama SK Machang 1 dan Jabatan Penerangan Kelantan tekad bersama penuhi harapan negara, agar perpaduan yang dicapai secara kolektif dan mampan, seiring dan sederap melangkah dengan semangat kesungguhan yang berkobar-kobar serta beriltizam tinggi untuk menjadi warganegara yang patriotik serta menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan warga UiTM, komuniti setempat dan murid sekolah.