4th Asedas 2023: International Poster Exhibition & Conference

INDONESIA, 11 September 2023 – Asian Digital Art Association (ASEDAS International) dengan kolaborasi Binus University@Semarang telah mengadakan pameran poster antarabangsa buat kali ke-4. “Design for Tomorrow” telah diangkat sebagai tema bagi pameran poster antarabangsa pada tahun ini dengan mengetengahkan idea-idea kreatif para pereka yang telah terpilih. Pameran ini telah diadakan di Binus University, Semarang, Indonesia pada 01 September 2023. Pameran poster antarabangsa ini telah menghimpunkan hasil karya kreatif daripada pereka-pereka dari seluruh negara. Pameran ini telah mempamerkan 120 hasil karya poster dari pereka daripada 33 negara yang terpilih. Antara negara yang terlibat ialah Malaysia, Indonesia, Poland, China, Iran, Taiwan dan banyak lagi.

Pameran poster antarabangsa yang julung kali diadakan secara bersemuka dengan mengetengahkan tema “Design for Tomorrow” bukan sahaja mempamerkan koleksi karya seni, tetapi merupakan wadah dan platform bagi para pereka untuk menyampaikan idea dan tafsiran melalui hasil karya yang dihasilkan. Pameran ini juga bertujuan untuk menunjukkan bagaimana pereka mempunyai kuasa untuk memacu transformasi masa depan yang bermakna dalam pelbagai aspek masyarakat dan menggalakkan impak positif pada skala global. Antara visual yang diketengahkan oleh para pereka adalah melalui ilustrasi digital, tipografi, fotografi dan manipulasi imej dalam hasil karya poster.

Pameran ini melibatkan lebih 200 hasil karya yang dihantar dan telah melalui proses kurasi dan penilaian daripada panel juri profesional. Daripada hasil karya poster yang dihantar oleh para pereka di seluruh dunia, hasil karya poster daripada pensyarah daripada Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kelantan iaitu Roziani Mat Nashir@Mohd Nasir telah terpilih mewakili negara Malaysia dalam pameran poster antarabangsa tersebut. Hasil karya poster beliau yang mengangkat tema “Shadow Puppet: Seri Rama” telah terpilih untuk dipamerkan di dalam pameran poster antarabangsa tersebut. Poster yang dipamerkan di samping hasil karya pereka-pereka daripada seluruh negara yang terpilih.

Pameran ini telah mendapat liputan yang meluas daripada media-media di Indonesia yang mengangkat hasil karya poster dari pameran antarabangsa ini. Selain daripada pameran poster antarabangsa, satu persidangan antarabangsa dengan tema yang sama turut diadakan secara serentak di Binus University. Selaku penganjur pameran poster antarabangsa pada tahun ini, Binus University sangat komited untuk menyatukan pereka-pereka dari seluruh dunia yang berbakat dalam bidang seni reka dan para akademik dalam membahaskan polemik mengenai bidang seni reka secara global.

Secara tuntasnya, pameran poster antarabangsa ‘4th ASEDAS 2023: International Poster Exhibition & Conference’ ini merupakan platform bagi pereka dan para akademik dari seluruh negara untuk sama-sama bertukar idea. Secara tidak langsung, melalui penglibatan pensyarah daripada Kolej Pengajian Seni Kreatif di dalam pameran poster antarabangsa ini telah mengangkat imej dan nama baik UiTM Cawangan Kelantan di peringkat global.