Bengkel Latihan Penilai dan Bengkel Penilaian Star Rating

SHAH ALAM, 5 September 2023 – Pusat Jaringan Komuniti, Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Universiti Teknologi MARA telah mengadakan Bengkel Penilai dan Penilaian Star Rating bagi projek komuniti UiTM. Bengkel latihan yang pertama dijalankan secara bersemuka bersama 28 penilai baharu dari UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Selangor pada 5 September. Manakala, bengkel latihan kedua diadakan pada 8 September secara maya dan dihadiri oleh 40 penilai yang berada di kampus-kampus UiTM cawangan.

Bengkel ini bertujuan memberi latihan kepada penilai yang baharu dilantik sebagai penilai MyRA Star Rating, salah satu komponen di dalam penarafan Malaysian Research Assessment (MyRA). Ini juga untuk memastikan projek komuniti yang dinilai dapat menyumbang kepada pencapaian penarafan MyRA Seksyen G6(a) dan G6(b) yang memberi penarafan kepada impak projek komuniti.

Bengkel dimulakan dengan sesi taklimat pertama bertajuk ‘Penilaian MyRA Star Rating’ yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mahadir Ladisma @Awis, Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan sekali gus melancarkan bengkel latihan ini. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan untuk memantapkan pemahaman penilai terhadap cara pengukuran projek komuniti berimpak yang diterima pakai oleh MyRA berdasarkan Glosari MyRA@ I Tahun 2018 (Pindaan 2019).

Sesi taklimat yang seterusnya disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Sukreen Hana Herman, Ketua Pusat Jaringan Komuniti bertajuk ‘Tatacara Sistem PRIMe’. Penerangan berkenaan penggunaan sistem PRIMe yang digunakan sebagai medium penilaian projek komuniti yang didaftarkan di sistem PRIMe merupakan fokus utama taklimat ini.

Untuk bengkel latihan yang dijalankan secara bersemuka, majlis penutupan telah disempurnakan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Saiful Izwan Suliman, Ketua Data Penyelidikan, Research Management Centre (RMC). Umumnya, projek komuniti yang dijalankan oleh warga UiTM menyumbang bukan sahaja kepada pencapaian dalaman UiTM, tetapi juga menyumbang kepada penarafan universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.