Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia 2023 Anjuran Bersama Majlis Bandaraya Shah Alam, Fakulti Saind Kesihatan Kamus Puncak Alam dan Maeh; Menjelajah Kaitan Antara Kesihatan Manusia dan Alam Sekitar.

SHAH ALAM, 19 OKTOBER 2023 – Majlis Bandaraya Shah Alam, Fakulti Sains Kesihatan Kampus Puncak Alam, dan Persatuan Kesihatan Persekitaran Malaysia (MAEH) telah bersatu tenaga untuk menganjurkan Majlis Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia 2023 bertemakan ‘Global Environmental Public Health’. Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam mengenai pentingnya kesihatan persekitaran dan bagaimana faktor persekitaran mempengaruhi kesihatan manusia serta penyakit.

Program bermula dengan sesi forum kesihatan awam bertajuk ‘Kesihatan Persekitaran Tanggungjawab Semua’, yang melibatkan panelis dari pelbagai organisasi bukan Kerajaan dan institusi pengajian awam tempatan. Forum ini membincangkan isu-isu kesihatan dan penyakit manusia yang berkaitan dengan persekitaran. Program seterusnya menyajikan sesi pocket talk mengenai Lalat Tentera Hitam atau dikenali sebagai Black Soldier Fly (BSF), disampaikan oleh Dr. Ahmad Razali Ishak, seorang pensyarah kanan dari Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam. Beliau berkongsi maklumat mengenai kajian pengkomposan sisa makanan menggunakan larva lalat askar hitam (BSF) dan manfaat yang diperolehi melalui proses tersebut.

Para mahasiswa dari program Ijazah Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan Kampus Puncak Alam turut aktif dalam majlis ini dengan mengadakan pameran .Tema pameran adalah Lalat Tentera Hitam (BSF) yang menjelaskan kitar hidup lalat, proses pengkomposan sisa makanan menggunakan BSF, dan produk-produk yang boleh dihasilkan melalui penggunaan BSF. Pameran ini bertujuan memperkenalkan bidang kesihatan persekitaran kepada pelbagai generasi dan memberikan pengetahuan tentang penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar untuk kesejahteraan masa depan.

Majlis ini turut mengadakan pelbagai aktiviti dan pertandingan menarik, termasuk Dengue Explorace Race untuk pelajar tahun 4, 5, dan 6 yang disertai oleh pelajar dari sekolah drai sekitar kawasan bandaraya, pertandingan hiasan makanan bertemakan Bento Amalan Pemakanan Sihat, pertandingan makanan sihat, pertandingan reka cipta, pertandingan poster digital, pertandingan kucing tercantik, serta program kucing angkat dan saringan kesihatan. Majlis sambutan secara tahunan ini diharap dapat mendorong penduduk untuk menjadi lebih bertanggungjawab, peduli, serta komited terhadap kelestarian alam sekitar. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Muhammad Shakir bin Ameer Mohideen, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Shah Alam.