Sambutan Hari Inovasi Dan Apresiasi 2020 UiTM Cawangan Sarawak Disambut Berbeza Serta Istimewa

Sambutan Hari Inovasi dan Apresiasi 2020, UiTM Cawangan Sarawak yang julung kali diadakan sejak Pandemik melanda dunia telah diadakan secara hybrid. Majlis ringkas telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Firdaus Abdullah, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa yang kini menjalankan tugas-tugas Rektor. Pada majlis tersebut juga telah diadakan majlis ringkas penyerahan tugas pelantikan menjalankan tugas-tugas Rektor daripada Mantan Rektor, YBhg Profesor Dato Jamil Haji Hamali kepada Profesor Dr Firdaus Abdullah.

Profesor Dr Firdaus dalam ucapan perasmian beliau menegaskan bahawa budaya kualiiti telah menjadi teras yang diterapkan oleh Prof. Dato Dr. Jamil, Mantan Rektor kepada seluruh warga UiTM Cawangan Sarawak sehingga menjadi contoh serta rujukan dan panduan oleh kampus cawangan lain malah pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam menghasilkan gerakan kualiti di semua kampus UiTM mahupun agensi berkenaan.

“Saya berharap budaya kerja berkualiti dapat diteruskan agar ketampakan UiTM Cawangan Sarawak kekal relevan dengan keadaan persekitaran yang berubah-ubah dan cabaran perkembangan teknologi yang sangat pantas,” katanya semasa berucap dalam majlis berkenaan.

Majlis berkenaan diserikan dengan penyampaian anugerah pengiktirafan kepada kesetiaan warga kerja yang telah berkhidmat lama sepanjang 20, 25 dan 30 tahun bersama UiTM. Selain itu, majlis berkenaan turut memberi penghargaan kepada warga kerja yang menunjukkan perkhidmatan yang cemerlang sepanjang tahun 2019 dan 2020. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di sampaikan kepada warga yang terlibat dalam pelbagai program dan aktiviti sama ada dalam pembangunan pelajar, penulisan, penyelidikan, khidmat komuniti, sukan, inovasi dan seni. Kemuncak sambutan Hari Inovasi dan Apresiasi 2020 UiTM Cawangan Sarawak dimeriahkan dengan pengumuman penerima Anugerah Hari Inovasi bagi beberapa kategori. Penerima adalah dikalangan staff Akademik dan staff Pentadbiran. Semua pengumuman dan penyampaian anugerah disempurnakan secara maya.

Pada majlis yang sama turut diadakan Majlis Khas Persaraan Rektor UiTM Cawangan Sarawak dan acara penyerahan tugas kepada pegawai yang menjalankan tugas-tugas Rektor.

Mantan Rektor, Profesor Dato Dr Jamil Hamali berkesempatan menyampaikan amanatnya kepada seluruh warga UiTM Cawangan Sarawak secara maya. Prof. Dato Dr. Jamil mengingatkan semua warga kerja supaya sentiasa meningkatkan kualiti dalam setiap budaya kerja mereka. Beliau yang turut kelihatan sebak sepanjang menyampaikan amanat berkenaan percaya lebih banyak yang perlu dilakukan dalam usaha memperkasa UiTM Cawangan Sarawak supaya terus memberi impak kepada pembangunan negara dan negeri khususnya agar sentiasa kekal relevan dan dijadikan pakar rujuk dalam pembangunan negara dan masyarakat setempat.

Beliau bersara wajib selepas berkhidmat selama 33 tahun sebagai pensyarah dan 16 tahun sebagai Rektor UiTM Cawangan Sarawak. Kepimpinan beliau sepanjang perkhidmatan telah meninggalkan suatu legasi yang cukup gemilang kepada warga UiTM Cawangan Sarawak khususnya dalam menerap serta memperkasakan inisiatif kualiti dikalangan warganya sehingga menjadi budaya kerja sehingga kini. Dibawah kepimpinan beliau, pelbagai pencapaian dan pengiktirafan telah dicapai oleh warga UiTM Cawangan Sarawak sama ada di peringkat cawangan, kebangsaan sehinggalah ke peringkat antarabangsa.

Majlis ringkas ketik keluar persaraan YBhg Profesor Dato Dr Jamil telah dihadiri oleh sebahagian staff akademik, pentadbiran dan pelajar mengikut SOP yang telah ditetapkan sepanjang pandemik dan ia disempurnakan dalam suasana yang pilu dan sedih.

Hadir sama secara bersemuka pada majlis berkenaan adalah Prof. Madya Ts Chemist Dr. Mohammad Isa Mohamadin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Abang Zainoren Abang Abdulrahman, Timbalan Rektor Penyelidikan & Jaringam Industri, Penolong Rektor Kampus Samarahan 2 dan Kampus Mukah, Ketua-Ketua Bahagian serta Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).