UiTM Cawangan Kelantan – Universiti Haiphong Meterai MoU Jalin Kerjasama Dalam Pelbagai Bidang

MACHANG, 10 November – Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) secara maya antara Universiti Teknologi MARA dan Haiphong University, Vietnam telah berjaya dimeterai pada hari Rabu, 10 November 2021. Memorandum persefahaman ini merupakan hasil inisiatif antara Universiti Teknologi MARA dan Haiphong University, Vietnam, sebuah universiti pelbagai disiplin yang ditubuhkan pada tahun 1959 yang terletak di Bandar Hai Phong, bahagian Pantai Utara, Negara Vietnam.

Haiphong University merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan dengan tujuan mengukuhkan kebolehan dalam bidang akademik dan penyelidikan di negara Vietnam. Sebagai usaha berterusan, universiti tersebut telah mengadakan pelbagai kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan negara Vietnam dan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara untuk mewujudkan hubungan erat dan kerjasama dalam bidang akademik, budaya dan penyelidikan berimpak tinggi.

Memorandum ini akan membuka peluang yang luas kepada kedua-dua buah universiti untuk berkolaborasi dalam pelbagai bidang termasuklah perkongsian akademik; penyelidikan dan penerbitan; pertukaran staf akademik dan pelajar; promosi peluang belajar; seminar, bengkel dan persidangan dalam bidang pendidikan dan latihan. Selain itu, memorandum ini turut membantu mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Vietnam dalam mencapai visi bersama untuk kecemerlangan berterusan dengan memupuk usaha kerjasama erat untuk menghadapi cabaran baharu, memaksimumkan peluang baharu untuk manfaat kedua-dua pihak.

Majlis ini telah ditandatangani oleh Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed, Yang Menjalankan Tugas Rektor, UiTM Cawangan Kelantan dan Profesor Madya. Dr. Nguyển Hoài Nam, Presiden Haiphong University, Vietnam. Majlis yang penuh bermakna ini turut disaksikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Madya Ts. Dr. Ghazali Osman dan Dr. Nguyễn Thị Thanh Nhàn, Timbalan Presiden Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa, Haiphong University, Vietnam.

Dalam ucapan aluan oleh Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed, Yang Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan, beliau mengharapkan sinergi ini membuka peluang lebih besar untuk berkolaborasi di antara dua buah buah universiti. Majlis ini telah disiarkan secara langsung di saluran YouTube Rasmi UiTM Cawangan Kelantan pada hari tersebut.