Lawatan Ke Unit Makmal Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) UiTM Cawangan Pahang

Satu lawatan ke Unit Makmal Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) UiTM Cawangan Pahang telah diadakan pada 8 November 2021 jam 12.00 tengah hari bertempat di Makmal Sains Tanah dan Makmal Sains Tumbuhan.

Kunjungan ke Unit Makmal ini telah dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah Ramli (Timb. Rektor HEA UCPh) dan YBrs. Prof. Madya Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman. Turut hadir menyertai lawatan tersebut ialah Puan Noorshilawati Abdul Aziz selaku Penyelaras Makmal Sains FPA serta Cik Nurulatika Minhad sebagai wakil kepada Ketua Pusat Pengajian (KPP) FPA iaitu Puan Fazidah Rosli. Kunjungan ke makmal ini turut di sambut oleh Penolong Pegawai Sains yang bertugas di makmal terlibat iaitu Encik Tajuddin bin Mokhtar serta Encik Mohd Rosdi bin Mat Tahir.

Lawatan ini diadakan bertujuan untuk melawat Unit Makmal FPA bagi memastikan keperluan makmal untuk pelajar mencukupi. Kunjungan ini juga dibuat bagi memantau alatan serta bahan-bahan yang digunakan di dalam makmal supaya sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Kunjungan ini juga dibuat atas sebab Unit Makmal FPA UCPh bakal menerima kunjungan daripada UiTM Cawangan Jasin, Melaka untuk lawatan kerja dan penandaarasan pada 12 November 2021 nanti.

Diharapkan dengan lawatan pihak Pengurusan Tertinggi UCPh ini dapat meningkatkan kecekapan dan kelicinan Unit Makmal FPA UCPh serta dapat memberikan impak yang terbaik dalam melahirkan graduan yang berkualiti.