Sambut Ulangtahun ke-10, Program Diploma Komunikasi Media Baharu dan Keusahawanan Kandungan (MC111) kekal berdaya saing

ALOR GAJAH, Julai 13 2023 – Program Diploma Komunikasi Media Baharu dan Keusahawanan Kandungan (MC111) dijangkakan terus berdaya saing dalam menyediakan graduan yang kompetitif di dalam bidang pembangunan isi kandungan media baharu termasuk bidang animasi, laman web dan juga permainan (games).

Bercakap di sambutan ke-10 tahun program tersebut, Penyelaras Program Diploma MC111, Puan Noorazura Durani berkata untuk kekal relevan di bidang komunikasi baharu itu, pensyarah-pensyarah program berkenaan sentiasa mencari peluang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri mereka walaupun adakalanya terpaksa menggunakan dana peribadi.

Noorazura berkata, memandangkan bidang teknologi komunikasi adalah sangat dinamik, dengan semakin kandungan media baharu juga semakin dipelbagaikan, usaha itu perlu untuk memastikan pensyarahnya terus kreatif dan berinovatif di dalam pengajaran dan pembelajaran. “Perkembangan program ini banyak dibantu pihak industri yang menyalurkan maklumbalas melalui pelajar-pelajar latihan praktik program ini,”. “Kumpulan alumni MC111 ini juga yang hampir mencecah 1,000 orang sering terlibat di dalam sesi perkongsian ilmu, selain memberi turut maklumbalas berkenaan silibus untuk memastikan ianya terus relavan,” ujar Noorazura.

Sambutan ke-10 tahun program tersebut disambut ketika Majlis Penutup Karnival Permainan Video 2023 (GAMEINC23) pada 6 Julai yang lalu di Dewan Syahbandar, UiTM Cawangan Melaka. Program Diploma MC111 mula ditawarkan sejak Disember 2013 oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka. Pelbagai kejayaan telah diraih oleh pelajar MC111 yang boleh dibanggakan. Antaranya adalah mewakili Malaysia ke pertandingan Asiagraph Reallusion Award pada tahun 2018 di Taiwan dan tercalon dalam Top 5 bagi kategori Best Student Games untuk SEA Games Award 2022.

Pelajar program juga pernah memenangi empat anugerah emas di International Creative Innovation Design Competition 2022 (ICIDE) organized by Mindware PLT UPSI, Universitas Islam Sumatera Utara and Sparks Education Pit serta mendapat tempat ke-8 bagi Adobe Certified Professional Championship. GAMEINC, suatu platform untuk mengasah bakat pelajar di dalam penganjuran program, turut bertujuan untuk mendapatkan maklum balas pengunjung (beta tester) mengenai permainan video yang telah dihasilkan oleh pelajar semester 4. Bertemakan permainan berunsurkan pendidikan, penganjuran kali ke-8 yang berlangsung selama tiga hari itu mempamerkan sembilan permainan video meliputi pelbagai genre seperti seram dan fantasi.

Game XENOS: Fear The Unknown oleh Cryptic Studio telah dipilih sebagai Best Games dengan menerima e-sijil, e-voucher Escape Room dan sejumlah wang tunai. Hadiah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Ridzuan, Ketua Pusat Pengajian (KPP), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM, Cawangan Melaka yang hadir merasmikan penutupan GAMEINC23. Sebanyak 16 cabutan bertuah termasuk permainan papan tajaan SPM Games Malaysia di sampaikan oleh Puan Siti Nur Farrah Faadiah Abd Ghani selaku Koordinator Program. Hampir 80 orang alumni turut hadir memeriahkan majlis penutup semalam disamping beberapa rakan pensyarah Diploma MC111.