BICE 2023 Platform baharu keusahawanan kepada pelajar-pelajar

TAPAH, 12 Julai 2023 – Minggu lalu telah berlangsungnya Business Innovation Competition & Exhibition 2023 (BICE) yang diadakan pada 4 Julai 2023 khusus untuk pelajar-pelajar yang mengambil subjek ENT300 yang bertempat di UiTM Tapah. Beberapa orang pensyarah dari kampus Tapah dan Seri Iskandar telah dipilih menjadi juri bagi acara tersebut. Aktiviti yang bermula pada awal pagi itu telah dihadiri oleh semua pelajar ENT300 serta pensyarah-pensyarah di dalam serta luar Uitm. Antara pensyarah yang hadir dari luar Uitm termasuk daripada Universiti Sains Malaysia. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah penjurian kepada perniagaan yang mempunyai inovasi dalam kepakaran masing-masing. Terdapat pelbagai jenis perniagaan yang diperkenalkan oleh setiap kumpulan yang terdiri daripada pelajar-pelajar subjek keusahawanan ini. Acara seperti ini telah memberikan kesempatan dan peluang kepada semua pelajar untuk mencipta dan menghasilkan produk jualan yang bermutu tinggi serta berinovasi bertepatan dengan tema acara pada hari tersebut.

Kemuncak kepada acara tersebut merupakan upacara penyampaian hadiah kepada kumpulan yang mempunyai markah tertinggi. Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Rektor Tapah, Dr Zoolhelmi dengan diiringi oleh Puan Hasnida. Sebagai penutup aktiviti pada hari tersebut, satu sesi bergambar telah diambil sebagai kenangan. Diharapkan acara seperti ini dapat menyuntik semangat berniaga kepada semua pelajar sebagai satu platform menambah ilmu keusahawanan.