LAWATAN DELEGASI UNIVERSITAS ISLAM MALANG (UNISMA), INDONESIA

SHAH ALAM, 11 Julai 2023 – Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Shah Alam telah menerima lawatan delegasi dari Universitas Islam Malang (UNISMA), Indonesia yang diketuai oleh Prof. Drs. H. Junaidi, Naib Rektor Hal Ehwal Akademik dan Kerjasama. Lawatan ini juga dihadiri oleh ahli akademik serta barisan pengurusan UNISMA.

Dalam lawatan tersebut, delegasi dari Universitas Islam Malang (UNISMA), Indonesia disambut oleh Dekan Akademi Pengajian Bahasa Profesor Ts. Dr. Janudin Sardi, dan barisan pihak pengurusan Akademi Pengajian Bahasa. Lawatan ini bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama dan merancang peluang untuk berkolaborasi dalam bidang pendidikan bahasa. Lawatan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha UNISMA untuk menggerakkan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang telah dimeterai pada 4 April 2023.

UNISMA dan APB berharap lawatan ini dapat memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua institusi dan memajukan kualiti pendidikan serta penyelidikan sekali gus membawa manfaat yang berkekalan.