RUKUN NEGARA: KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

Rukun Negara merupakan sebuah deklarasi yang menggariskan prinsip-prinsip utama yang menjadi landasan dan asas bagi kewujudan pelbagai kaum di Malaysia. Mula digubal rentetan peristiwa sejarah hitam negara pada 13 Mei 1969 dan diisytiharkan secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970 yang menjadi pemangkin kepada pengukuhan perpaduan dan semangat patriotisme rakyat Malaysia.

Rukun Negara terdiri daripada lima prinsip utama yang meliputi Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan. Prinsip-prinsip ini adalah nilai teras yang membentuk dasar kerjasama dan kesepaduan antara rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau kepercayaan masing-masing.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah salah satu nilai penting dalam Rukun Negara, yang menjadi landasan utama bagi mewujudkan keharmonian, keselamatan, dan kemajuan negara Malaysia. Nilai kesetiaan ini merangkumi komitmen dan tanggungjawab setiap warganegara untuk mempertahankan dan melindungi kedaulatan negara serta menghormati institusi Raja sebagai Ketua negara.

Mengimbau kembali pada tahun 2020, dalam situasi dan keadaan mencabar yang dihadapi negara pada ketika itu, iaitu pandemik COVID-19, isu-isu keselamatan dan keamanan, serta cabaran ekonomi, nilai kesetiaan ini dilihat sangat relevan dan penting untuk dipegang teguh. Ini dapat dilihat melalui keputusan-keputusan penting yang perlu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri bagi mengawal atau mengurus situasi kesihatan dan mengimbangi keperluan ekonomi serta kesejahteraan rakyat secara holistik. Setiap keputusan yang dibuat perlu mengambil kira pelbagai aspek dan akan menentukan masa depan negara.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara bukan sahaja bermaksud menunjukkan sokongan kepada institusi diraja, tetapi juga mempunyai implikasi penting dalam menjaga keharmonian dan kestabilan negara. Kita perlu menghargai perbezaan budaya dan agama antara kaum dan memastikan bahawa hak setiap individu dilindungi. Sebagai warga Malaysia, kita juga perlu memainkan peranan penting negara dalam pembangunan dan kemajuan negara melalui peningkatan produktiviti dan kualiti dalam pekerjaan.

Perkara 32 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan dengan jelas bahawa Ketua Utama Negara bagi Persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong. Perkara 32 juga turut menerangkan beberapa peranan penting yang dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Elemen ini yang secara tidak langsung diterapkan dalam rukun negara ke-2 agar rakyat dapat memahami fungsi dan signifikannya jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu, untuk mencapai matlamat yang dinyatakan dalam Rukun Negara, setiap warganegara perlu mengamalkan nilai kesetiaan kepada Raja dan Negara dengan sepenuh hati dan bertanggungjawab. Kita harus sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Selain itu, kita perlu berusaha untuk memperbaiki kualiti hidup dan ekonomi negara dengan menyokong inisiatif-inisiatif yang dibangunkan oleh kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu memahami dan menghayati nilai-nilai dalam Rukun Negara, terutama sekali nilai kesetiaan kepada Raja dan Negara. Kita harus sentiasa mengingati bahawa kesetiaan ini adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama oleh seluruh warga Malaysia dalam usaha untuk memacu negara ke peringkat yang lebih tinggi.