Knowledge Transfer Program: Penggunaan Aplikasi Mudah Alih ‘Speak Now’ di Universitas Negeri Malang, Indonesia

Tanggal 8 Mac 2023, berlangsungnya Program Penggunaan Aplikasi Mudah Alih ‘Speak Now’ di bawah Geran Knowledge Transfer Program (KTP) di Universitas Negeri Malang, Kota Malang, Jawa Timur, Indonesia. Program ini diketuai oleh Prof Madya Dr. Tengku Intan Suzila Tengku Sharif dan dibantu oleh ahli geran, Cik Fatin Sabrina Abdul Sukor. Dua pensyarah daripada Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka ini turut dibantu oleh 6 pelajar Ijazah Sarjana Muda Biodiversity yang turut menjadi fasilitator bagi program tersebut iaitu Siti Umairah Binti Azmi, Evy Alvera Junis, Nur Fatiha Natasya Binti Ruzilan, Aina Mardia Binti Rais, Nurul Syazwana Biti Zafrul Safuan, dan Nur Illyana Sofia Binti Mohd Azlim. Turut membantu adalah dua pensyarah Jurusan Sastra Inggris, Fakultas Sastra, Universitas Negeri Malang, Dr. Sari Karima dan Puan Rahmati Putri Yaniafari.

Seramai 32 orang pelajar Jurusan Sastra Inggris dari Fakultas Sastra, Universitas Negeri Malang telah terlibat dalam Program Penggunaan Aplikasi ‘Speak Now’ di bawah Geran Knowledge Transfer Program (KTP) ini. Program berdurasi dua jam ini memberi peluang kepada para peserta untuk melakukan beberapa aktiviti berkumpulan dan berakhir dengan penggunaan aplikasi mudah alih ‘Speak Now’ secara individu. Objektif program adalah untuk mengkaji keberkesanan aplikasi mudah alih ‘Speak Now’dalam membantu peserta program yang juga merupakan bakal guru.

Aplikasi mudah alih ‘Speak Now’ adalah sebuah alat bantu pengajaran yang memudahkan tenaga pengajar Bahasa Inggeris menjalankan aktiviti “Speaking’ di dalam kelas. Ia dapat mengurangkan beban guru atau pensyarah Bahasa Inggeris dan dapat menjimatkan masa mereka dalam membuat persiapan bahan pengajaran. Aplikasi tersebut mengandungi beberapa aktiviti seperti ‘Roleplay’, ‘Group Discussion’ dan ‘Story-telling’ yang sesuai digunakan untuk pelajar sekolah menengah dan juga insititusi pengajian tinggi.

Para peserta mempamerkan kerjasama antara ahli kumpulan yang baik dalam menyelesaikan setiap aktiviti sepanjang program. Mereka juga memberi respons yang positif tentang aplikasi mudah alih ‘Speak Now’ dan telah memberi beberapa idea bernas dalam menambahbaik aplikasi tersebut.

Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi dan kerjasama di antara dua universiti dan seterusnya dua negara akan terus erat dengan lebih banyak usahasama dalam bidang penyelidikan dan akademik pada masa akan datang.