Promosi Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) di Outreach 2022, Batu Kurau.

BATU KURAU- Unit Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Cawangan Pulau Pinang, Misi Akademik dan Unit PPT UiTM Cawangan Perak telah bersama menjayakan program Outreach 2022 yang diadakan di Dewan Astaka Batu Kurau pada 20 Mac 2022. Program ini merupakan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah berlangsung secara bersemuka bermula jam 8.00 pagi sehingga 2.00 petang. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti pameran pendidikan tinggi, sesi taklimat UPU online dan Institusi PengajianTinggi (IPT), sesi konsultansi bersama IPT, bual bicara kemasukan ke universiti dan persembahan lagu serta deklamasi puisi.

Unit PPT UiTM Cawangan Pulau Pinang telah diwakili oleh Puan Suhaiza Binti Hasan, Koordinator PPT dan UiTM Cawangan Perak diwakili oleh Dr Wan Faida Wan Mohd Azmi dan Dr Nurul Sahida Mohd Fauzi. Sesi konsultansi dan sesi promosi program PPT di Kawasan Batu Kurau ini amat bermakna kerana kebanyakan pelajar lepasan SPM adalah daripada keluarga kategori B40. Hal ini amat bertepatan dengan program PPT yang mana tujuan utama program PPT adalah untuk mengambil pelajar – pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperolehi keputusan SPM yang kurang menepati syarat-syarat keperluan UPU dari golongan B40 dan juga bukan B40 agar kesemua mereka dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Sememangnya mereka mempunyai peluang yang cerah untuk meneruskan pengajian ke peringkat pra diploma UiTM. Calon-calon yang memohon dan memenuhi syarat akan ditawarkan untuk mengisi 6000 kekosongan tempat menjelang tahun 2025 di dalam program Pra Diploma di semua kampus negeri UiTM di seluruh negara.

Seramai lebih 200 pelajar lepasan SPM dan ibu bapa yang hadir bagi mendapatkan info-info terkini berkaitan peluang pengajian ke universiti. Turut hadir dalam program ini adalah Prof. Dato’ Ts. Dr. Ahmad Mujahid Bin Ahmad Zaidi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM dan En Wahi Bin Nordin, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA @ UPU (BKPA).

Dengan adanya program Outreach 2022 ini, dapat memberi info terkini berkaitan peluang untuk menyambung pengajian ke universiti dan menjadi platform utama bagi BKPA untuk menyampaikan maklumat kepada pemohon dan masyarakat awam mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke IPTA dan ILKA melalui UPU Online.