Naib Canselor UiTM Pertama ke UiTM Cawangan Kampus Tawau

TAWAU, 24 MAC 2022 : Hari ini dalam sejarah. YBhg. Profesor Datuk Ts Dr. Hajah Roziah Mohd Janor merupakan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA yang pertama telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau. Ketibaan Profesor Datuk Naib Canselor di ruang legar bangunan Menara Gemilang telah disambut oleh YBhg. Datuk Profesor Madya Dr. Haji Abdul Kadir Haji Rosline selaku Rektor UiTMCSH, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling selaku Koordinator Kampus UiTMCSH Kampus Tawau serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTMCSH.

Lawatan dimulai dengan majlis perjumpaan Profesor Datuk Naib Canselor bersama warga UiTMCSH Kampus Tawau. Semasa sesi ucapan, beliau telah menekankan keikhlasan setiap warga kampus dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Beliau juga turut berkongsi serba sedikit rutin kerja harian sepanjang tempoh 200 hari beliau memegang jawatan sebagai Naib Canselor. Dengan ruang yang diberikan oleh Profesor Datuk Naib Canselor, warga kampus telah memperkenalkan diri seterusnya bertanyakan soalan atau berkongsi pandangan masing-masing. Profesor Datuk Naib Canselor telah memberi penjelasan terhadap beberapa soalan yang telah diajukan oleh warga kampus khususnya hal yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur dan sumber manusia di UiTMCSH Kampus Tawau.

Terdahulu, YBhg. Datuk Rektor UiTMCSH dalam ucapan aluan, beliau menyatakan perancangan UiTMCSH Kampus Tawau akan melalui proses transformasi daripada ‘Feeder Campus’ kepada ‘Full Fledged’ menjelang tahun 2025 dengan adanya penawaran program pengajian peringkat Diploma. Beliau turut optimis terhadap pelan penjanaan pendapatan kepada usahawan dari golongan B40 melalui kerjasama pihak industri untuk mengusahakan tanaman cili di dalam kawasan tanah UiTMCSH kampus Tawau dalam masa terdekat ini.

Dalam lawatan ini, warga kampus menyaksikan Profesor Datuk Naib Canselor menandatangani plak sempena lawatan kerja Naib Canselor UiTM ke UiTMCSH Kampus Tawau. Seterusnya, sesi menanam pokok Durian Hitam (Black Torn) oleh Profesor Datuk Naib Canselor bersama-sama Datuk Rektor serta Tuan Koordinator Kampus.

Di akhir lawatan, Profesor Datuk Naib Canselor telah menjamu selera bersama-sama semua tetamu kehormat dan warga kampus. Paling mencuit hati, Profesor Datuk Naib Canselor juga dapat menikmati makanan tempatan popular iaitu Mi Tauhu Tawau.

Hadir sama dalam lawatan ini adalah Dr. Firdausi Suffian, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Datin Dr. Rafidah Datuk Hj. Salleh, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Dr. Sharifah Nurafizah Syed Annuar, Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTMCSH dan Saudara Shahirul Azri Aman Shah, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTMCSH Sesi 2021/ 2022.