Projek Ternakan Ayam Pedaging: UiTM Cawangan Sarawak

MUKAH: Tunas Mekar UiTM Sarawak telah melaksanakan salah satu Program Keusahawanan Siswazah iaitu Projek Ternakan Ayam Daging di UiTM Kampus Mukah pada 14 Februari 2021 sehingga 4 Mei 2021.

Program ini melibatkan Penyelaras projek iaitu En. Muhamad Syukrie Bin Hj. Abu Talip, En. Muhamad Nasarudin Bin Sulaiman (penyelia) dan En. Mohamad Indera Bin Indi (penyelia) berserta dua orang graduan dari program Diploma Pengurusan Ladang. “Saya berasa berpuas hati dengan perlaksanaan program seperti kerana kita dapat memberi pendedahan secara terus kepada bakal graduan dan graduan dari UiTM kampus Mukah untuk mempraktikan pengetahuan yang mereka pelajari semasa dalam pengajian”, tambah Encik Syukrie lagi. Selain pengetahuan, elemen keusahawanan perlu diterapkan sebagai persediaan kepada mereka untuk terus aktif sebagai usahawan di kemudian hari ujar beliau lagi.

Objektif utama projek ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada graduan yang berminat dalam aktiviti keusahawanan dan mendedahkan mereka dengan projek ternakan ayam pedaging. Ternakan ayam terbahagi kepada 2 fasa iaitu Fasa 1 (16 Februari 2021) dan Fasa 2 (2 Mac 2021) dengan jumlah 300 ekor ayam. Secara keseluruhan projek ternakan ayam daging Tunas Mekar telah mencapai objektif iaitu melengkapkan graduan (peserta) dengan pengalaman dan pengetahuan berkenaan projek ternakan ayam. Peserta juga mampu memberi pandangan dan pendapat dalam melaksanakan projek bagi penambahbahbaikan pada masa akan datang.

Terdapat beberapa projek Tunas Mekar UiTM Sarawak lain yang menggunakan peruntukan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED) ialah projek penanaman Cendawan Tiram, Tunas Usahawan, Usahawan Asnaf/ Ibu tunggal serta projek penanaman Nanas MD2 dan Tembikai di Kampus Samarahan.

Prof. Madya. Dr Jati Kasuma selaku Felo Tunas Mekar UiTM Sarawak berkata, projek yang melibatkan pelajar di akhir semester dan graduan yang berpotensi untuk melibatkan diri dalam perniagaan amat menekankan kebolehan pelajar dalam mengaplikasi pengetahuan mereka perniagaan. Sekurang-kurang ini dapat mengatasi masalah kebolehpasaran pelajar apabila mereka bergraduan dan telah bergraduan dan sekali gus dapat mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan siswazah khusus semasa pasca pandemik.