Projek Sulam untuk kursus Personal Financial Planning (FIN533) di Madrasah Tahfiz Al Aziz, Kajang

KLANG, 25 Jun 2023 – Pada Sabtu, 10 Jun 2023, seramai 38 pelajar Personal Financing Planning FIN533 NBH4B, dari ICEPs Shah Alam, telah menjalankan program bertajuk “Perancangan Simpanan Masa Depan” bersama pelajar-pelajar Madrasah seramai 50 orang yang berumur sekitar 10 tahun sehingga 17 tahun.

Objektif utama program ini, adalah bagi mendedahkan pelajar-pelajar disini kepada kepentingan menabung dan membuat simpanan dari usia muda. Selain itu, pelajar-pelajar ini didedahkan dengan keperluan berbelanja secara berhemah dengan mengenali apa itu keperluan (needs) dan kemahuan (wants).

Dari maklum balas yang didapati, masih ramai pelajar yang tiada akaun simpanan dan ramai yang belum membuka akaun Tabung Haji. Seperti yang kita sedia maklum, sebagai persediaan menunaikan Rukun Islam yang kelima, iaitu untuk menunaikan haji, seseorang mestilah ada akaun simpanan tabung haji bagi membolehkan dia mendaftar untuk menunaikan fardu haji.

Penceramah yang dijemput untuk program ini adalah Encik Zayed Zulkifli yang merupakan pakar dalam bidang kewangan peribadi. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini adalah ceramah yang diselang seli dengan sesi soal jawab bagi memastikan pelajar sentiasa berminat dan bersemangat mengikuti ceramah. Pelajar yang berjaya menjawab soalan dengan betul, diberikan hadiah.

Selepas sesi ceramah selama satu jam, diikuti pula aktiviti mencari harta karun dimana pelajar harus menjawab soalan-soalan yang berkenaan dengan pengurusan wang simpanan. Pemenang-pemenang bagi aktiviti pencarian harta karun turut diberikan hadiah.

Dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meruncing, program sebegini diharap dapat memupuk semangat remaja untuk menabung dan menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Diharap dapat juga melahirkan generasi yang suka dan minat menabung dan juga berbelanja secara berhemah.

Pihak pengurusan Madrasah amat mengalu-alukan program-program sedemikian agar dapat diteruskan dimasa hadapan. Mereka mahu pelajar-pelajar disitu didedahkan dengan ilmu-ilmu pengurusan kewangan peribadi sebab amat berguna apabila pelajar ini meneruskan kehidupan diluar sana. Dan juga program sebegini dapat mengimbangi ilmu pelajar-pelajar disitu, dimana mereka bukan saja belajar ilmu keugamaan.

Sambutan pihak luar pula amat mengalakan dimana pihak luar banyak memberikan tajaan/sumbangan makanan dan minuman dan juga bahan mentah seperti beras, minyak, gula, rempah ratus dan sebagainya untuk disampai kepada pihak Madrasah.

Sebagai akhir kata, program sebegini baik untuk diterapkan kepada kanak-kanak dan remaja supaya mereka dapat belajar ilmu pengurusan kewangan dari awal dan seterusnya mereka mendapat ilmu baru diluar bidang agama.

Manakala kepada pelajar ICEPs pula, mereka dapat belajar cara-cara untuk menguruskan proram, bekerja dalam kumpulan dan dapat membantu pihak madrasah dengan mendapatkan sumbangan-sumbangan dari pihak luar. Diharap program sebegini dapat diteruskan di masa hadapan.