Program Table Etiquette: “Shh… Mind Your Manners”

Pada 9 Disember 2023 yang lalu, telah berlangsung Program Table Etiquette: “Shh… Mind Your Manners” anjuran kumpulan pelajar BA1185C yang merupakan pelajar tahun akhir (Semester 5), Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (BA118), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Program yang bertempat di Dewan Serbaguna 1, Dewan Tun Teja, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah bermula pada jam 8:00 pagi dan berakhir pada jam 2:00 petang dan dianjurkan dengan objektif utama untuk memenuhi keperluan kursus Pengurusan Majlis (OBM310).

Program yang dirasmikan oleh Puan Mas’udah binti Asmui, Ketua Pusat Pengajian, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi (PPPT), Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka telah menjemput Puan Hazlin binti Hasan, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka selaku penceramah jemputan berdasarkan pengalaman serta kepakaran beliau di dalam bidang etiket dan adab di meja makan serta pengurusan majlis dan seorang pensyarah penilai iaitu Puan Rohana binti Johan yang juga merupakan seorang pensyarah Fakulti.

Program yang diadakan secara bersemuka dan interaktif ini yang terbahagi kepada dua bahagian, iaitu teori dan demonstrasi, telah melibatkan 60 orang pelajar Semester 1, Program Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (BA1185C) sebagai kumpulan sasaran. Selain dari berjaya berkongsi ilmu berkaitan dengan prinsip serta adab di meja makan seperti mana yang diperlukan di dalam kursus Pembentukan Personaliti (OBM100) yang perlu diambil oleh para peserta, program ini juga berjaya meningkatkan kemahiran para peserta di dalam penggunaan perkakas dan peralatan makanan yang betul kerana peserta turut diberi peluang untuk mencuba sendiri pengalaman tersebut melalui sesi demonstrasi yang dijalankan. Kesemua peserta turut diuji kemahiran mereka di dalam menghasilkan lipatan napkin yang biasa digunakan di majlis makan rasmi. Sesi soal jawab yang diadakan diakhir program turut membantu para peserta untuk lebih memahami apa yang telah disampaikan oleh pihak penceramah di sepanjang program berlangsung.

Selain dari itu, pelaksanaan program ini juga telah turut membantu pihak Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan serta Universiti dalam memenuhi pencapaian SDG 4 (Pendidikan Berkualiti dan Peluang Pembelajaran Berterusan).

Berdasarkan dari maklumbalas yang diterima dari para peserta di akhir program, mereka merasa sangat gembira dengan ilmu baru yang diperolehi kerana peserta turut didedahkan tentang cara untuk berinteraksi dengan lebih baik di majlis-majlis formal. Dengan kemahiran adab di meja makan yang baru dikuasai, peserta turut melahirkan rasa lebih yakin untuk menghadiri majlis yang seumpamanya di masa hadapan kerana ilmu dan kemahiran yang diperolehi membantu membentuk peribadi diri yang lebih sopan, tertib dan teratur.

Akhir sekali, penganjuran program ini juga turut memberi pengalaman baru kepada kesemua peserta dan juga penganjur daripada kumpulan BA1185C dalam memastikan keseluruhan program berjalan dengan lancar serta mengikut apa yang telah dirancangkan memandangkan pada masa yang sama, mereka turut dinilai oleh pensyarah penilai iaitu Puan Rohana binti Johan di dalam aspek pengurusan majlis. Penglibatan para sukarelawan yang terdiri dari 4 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Sistem Pengurusan Pejabat (BA232) turut memeriahkan lagi program serta membantu pihak penganjur dalam melancarkan perjalanan program secara keseluruhannya.