Buletin Program Expert With Alumni 2023

Pada 15 Jun 2023, Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah mengadakan program Expert with Alumni 2023: How to Establish a Physiotherapy Center? Program ini merupakan program wajib bagi Persatuan Pelajar Fisioterapi semester ini bagi memenuhi Key Performance Indicator (KPI) Jabatan Fisioterapi. Program ini telah dijalankan secara atas talian melalui platform Microsoft Teams dengan penglibatan pelajar semester 2, 4, dan 6, juga sebahagian daripada staf di Jabatan Fisioterapi. Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan satu platform bagi jalinan produktif dan perkongsian pintar serta memupuk dan mengekalkan kerjasama berterusan antara alumni dan pelajar yang membawa ke arah pemantapan pembangunan bersama. Bukan itu sahaja, program ini turut bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai hala tuju mereka selepas tamat pengajian dan membuka peluang kepada mereka untuk mendapatkan pelbagai ilmu pengetahuan yang baharu di samping memantapkan kemahiran berkomunikasi serta membina keserasian antara alumni.

Program ini dimulakan pada pukul 2.00 petang dengan ucapan alu-aluan daripada pengarah program, Nurul Hamizah binti Zulkifli dan diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Dr Ida Hasni binti Shaari selaku Ketua Pusat Pengajian Fisioterapi UiTM. Kemudian, program diteruskan lagi dengan agenda utama iaitu sesi perkongsian daripada penceramah yang juga merupakan alumni fisioterapi UiTM pada tahun 2004, Puan Sharfiza binti Abdul Aziz. Dalam sesi perkongsian ini, Puan Sharfiza telah berkongsi pengalaman beliau bermula daripada seorang pelajar fisioterapi yang biasa sehinggalah beliau berjaya menjadi seorang ahli fisioterapi. Saban tahun, kerjaya beliau terus berkembang dan beliau mula menceburi bidang keusahawanan dengan membuka pusat fisioterapi beliau sendiri, berbekalkan hasil kerja keras serta sokongan ahli keluarga dan sahabat handai. Pelbagai cabaran dan halangan telah pun beliau tempuhi untuk sampai ke tahap ini dan tidak sekalipun beliau bongkak dengan pencapaian beliau malah sentiasa merendah diri sepanjang sesi perkongsian. Beliau juga tidak lokek dalam berkongsi tips-tips yang berguna kepada para pelajar untuk berjaya dalam jurusan fisioterapi.

Antara faktor yang turut menyumbang kepada kejayaan beliau kini adalah kredibiliti yang tinggi serta networking yang luas dalam bidang ini disebabkan oleh pengalaman kerja beliau dalam sektor awam juga swasta. Beliau juga turut menguasai pelbagai bidang pengkhususan dalam bidang fisioterapi seperti pediatrik, neurologi, premature infants dan musculoskeletal. Sejurus selesai sesi perkongsian, majlis diteruskan dengan sesi fotografi sebagai kenang-kenangan bersama penceramah. Setelah itu, majlis melabuhkan tirainya tepat pada pukul 4.30 petang.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini sedikit sebanyak telah membantu memberi pencerahan dan pendedahan kepada para pelajar tentang realiti sebenar dunia pekerjaan setelah mereka menamatkan pengajian kelak. Selain itu, program ini juga membantu meningkatkan semangat pelajar untuk sentiasa mendambakan kejayaan selari dengan misi UiTM yang mahu melahirkan graduan yang berdaya saing, bersifat global dan beretika. Program seperti ini juga dijangka mampu memberi manfaat kepada semua pihak khususnya para pelajar dalam mencipta kecemerlangan bukan sahaja di alam universiti malahan di alam pekerjaan. Semoga para peserta mendapat pelbagai input yang berguna sepanjang menyertai program ini.

Disediakan oleh:

(NURUL HAMIZAH BINTI ZULKIFLI)
Pengarah Program
Expert With Alumni 2023,
Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS),
Fakulti Sains Kesihatan,
UiTM Selangor.