Program Orientasi Pelajar Baru Fisioterapi 2023

PUNCAK ALAM, 29 Januari 2024- Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah mengadakan Program Orientasi Pelajar Baru Fisioterapi 2023. Program ini merupakan program yang wajib dijalankan oleh Persatuan Pelajar Fisioterapi setiap tahun untuk mengalu-alukan kemasukan pelajar-pelajar baru fisioterapi. Program ini telah dijalankan secara bersemuka di Dewan Kuliah 1, Fakulti Sains Kesihatan 7 dan kawasan sekitar Fakulti Sains Kesihatan (FSK) pada tanggal 8 Oktober 2023 (Ahad) yang melibatkan semua pelajar baru semester 1 dan semester 3 serta turut disertai oleh barisan majlis tertinggi dan exco PHYTAS. Program ini dimulakan pada jam 8 pagi dengan sesi perkongsian dan pengenalan kepada fisioterapi yang disampaikan oleh Dr. Saiful Adli Bin Bukry dan diakhiri dengan Explorace dan Show Me Your Talent sehingga jam 4 petang.

 

 

 

 

 

 

Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu mengenai jurusan fisioterapi di UiTM serta memupuk minat pelajar untuk mendalami dan menghayati peranan serta tanggungjawab sebagai seorang pelajar fisioterapi. Selain itu, program ini juga dapat mengeratkan hubungan antara pelajar-pelajar baru fisioterapi dan barisan exco Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS). Pada masa yang sama, aktiviti yang diadakan sepanjang program berlangsung dijangka mampu meningkatkan Kemahiran komunikasi selain dapat memupuk nilai Kerjasama dalam diri setiap mahasiswa.

Secara umum, program ini telah memberikan impak positif kepada para peserta dan ahli jawatankuasa sepanjang pelaksanaan program demi mencapai tujuan dan matlamat program dengan berjaya. Ahli jawatankuasa program serta barisan jawatankuasa Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) berharap program ini dapat membuka dan mempersiapkan minda pelajar-pelajar baru fisioterapi dalam meneruskan pengajian dalam bidang ini. Tahniah dan Syabas diucapkan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Sekian, terima kasih.