Perlantikan Jawatankuasa Baharu HURES Sesi 2024/2025 , UiTM Cawangan Melaka

14 Januari 2024 yang lalu telah menyaksikan pelantikan Ahli Jawatankuasa baharu Human Resource Society (HURES) UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka bagi sesi 2024/2025. Pelantikan baru ini melibatkan seramai 20 orang ahli HURES bagi pelbagai jawatan exco seperti Bendahari, Setiausaha, Exco Multimedia dan Hebahan, Exco Protokol dan Perhubungan Luar, Exco Akademik, Exco Kebajikan dan Kerohanian, Exco Pembangunan Program, Exco Keusahawanan dan Exco Rekreasi. Jawatan Presiden juga telah disandang oleh Muhammad Muqri Ikmal bin Mohd Rodzhan yang menggantikan Iyad Nazhan bin Dani Sabri. Manakala jawatan Naib Presiden yang terdahulunya disandang oleh Farisha Esma Dayana binti Ismail kini telah diganti oleh Siti Nur’ Aisyah binti Tolip dan Ainaa Syafiiah binti Muhammad Afiq Esuan.

Penyampaian watikah pelantikan ini telah disempurnakan dengan gilang-gemilang di Majlis Makan Malam “Dinner With HURES” yang telah berlangsung di Hotel Grand Swiss BelHotel, Melaka. Seramai 120 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia telah menghadiri majlis tersebut yang telah dirasmikan oleh Penolong Rektor UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya iaitu Dr. Halim bin Mahpoth. Turut hadir adalah Ketua Pusat Pengajian, Dr. Siti Normah Awang Tuah, Koordinator Program, Dr. Juan Rizal bin Datuk Haji Sa’ari, Penyelaras Program, Dr. Ainaa Idayu Iskandar, Penasihat HURES, Puan Arnida Jahya dan para pensyarah serta alumni.

Selain dari upacara pelantikan ahli jawatankuasa HURES yang baharu, pelbagai anugerah telah disampaikan kepada pelajar-pelajar cemerlang di sepanjang tahun 2023 bagi kategori akademik, sukan dan kebudayaan. Penerima anugerah bagi Kategori Akademik adalah Mohamad Fikry Ikhwan bin Mohamad Zin (Bahagian 1), Norfarahanissah binti Abdullah (Bahagian 2), Nurul Fatimah Nabilah binti Ahmad Lutfi (Bahagian 3), Anis Nurain binti Mohamad Azhar (Bahagian 4), dan Noor Sabryna Muhamad Fairos Fadly (Bahagian 5). Manakala bagi Kategori Sukan dimenangi oleh Mohd Farez Daud dan Nur Qamarina Zakri. Bagi Ketegori Kebudayaan pula dimenangi oleh Muhammad Hakimi Aluddin dan Syerina Azanizam. Pemilihan penerima anugerah ini telah dibuat dengan teliti berdasarkan pencapian yang cemerlang dan penglibatan secara aktif pelajar dalam pelbagai aktiviti bagi setiap kategori.

Selain itu, para pelajar yang telah hadir dengan persalinan yang indah dan mengikut tema juga telah menerima anugerah King, Queen dan Diva of The Night. Acara lain yang turut menjadi tumpuan para hadirin adalah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama penginapan 2 hari 1 malam beserta sarapan di Hotel Grand Swiss Belhotel.

Penganjuran majlis makan malam ini adalah sangat istimewa kerana ini merupakan kali pertama pelajar dan pensyarah dari Jabatan Pengurusan Sumber Manusia UiTM Cawangan Melaka dihimpunkan di dalam sebuah majlis makan malam sejak pandemik Covid19 melanda dunia. Kali terakhir majlis makan malam dianjurkan oleh HURES adalah pada tahun 2019. Sudah tentu majlis kali ini mencipta banyak kenangan bermakna kepada tetamu yang telah hadir selain dari menjadi platform kepada pembangunan hubungan dan memupuk nilai-nilai kebersamaan di antara pelajar-pelajar serta pensyarah di bidang pengurusan sumber manusia.