Program SULAM Unity & Togetherness: UiTM, MDPT & KRT Puncak Iskandar ke Arah Kerjasama dan Kesejahteraan Komuniti

21 Januari 2024, Puncak Iskandar, Seri Iskandar, Perak- Program SULAM bertemakan Unity & Togetherness: UiTM, MDPT & KRT Puncak Iskandar ke Arah Kerjasama dan Kesejahteraan Komuniti telah berjaya dilaksanakan. Program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) merupakan program dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) pelajar semester 3, kursus LAN200: Park and Community Design, Program Senibina Landskap, Jabatan Pengajian Alam Bina & Teknologi (JBAT), Fakulti Senibina dan Ukur, UiTM Seri Iskandar, Perak dengan kolaborasi Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) dan Kelab Rukun Tetangga (KRT) serta komuniti Puncak Iskandar, Seri Iskandar, Perak.

Program ini melibatkan seramai 103 orang bertempat di Astaka Puncak Iskandar. Iaitu 56 pelajar semester 3 (LAN200), 11 pelajar sukarelawan (PSL), 4 pensyarah kursus LAN 200 ( Dr Wan Noor Anira Binti Hj wan Ali, IDR Dr Nadiyanti Mat Nayan, Dr Norizan Mt Akhir & LAr Ahmad Zamil Zakaria) , 4 panel penilai MDPT (TPr Mohammad Kamarul Izham, En. Faiz Katibin, En Zambri & Puan Mazura), 3 panel penilai UiTM Perak (Gs Dr Norhazlan, Dr Nur Huzeima Mohd Hussain & Dr Atikah Fukaihah Amir), 15 Ahli jawatankuasa (KRT) dan 10 pekerja Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).

SULAM: Unity & Togetherness, telah dirasmikan oleh YDP MDPT, Puan Zairina Binti Nordin bersama-sama penyelaras dan pensyarah SULAM (LAN200), Dr Wan Noor Anira Binti Hj Wan Ali @ Yaacob yang turut sama mewakili Rektor, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Ketua Jabatan Pengajian Alam Bina & Teknologi (JBAT) dan Ketua Program Senibina Landskap (PSL), UiTM Seri Iskandar, Perak. Program ini turut diselitkan dengan majlis serahan sumbangan 100 pokok oleh YDP MDPT kepada Program Senibina Landskap, Program Perancangan Bandar & Wilayah, UiTM Seri Iskandar, Perak serta Kelab Rukun Tetangga (KRT) Puncak Iskandar.

Program anjuran pelajar ini diketuai oleh saudara Zafri Bin Ziyadi dan Muhammad Amri Fikri Bin Noor Azman serta saudari Nurul Izzah Atirah Binti Ahmad Fuad di bawah bimbingan pensyarah kursus LAN200: Park and Community Design yang melibatkan dua aktiviti utama iaitu pembentangan projek akhir pelajar semester 3 bagi rekabentuk landskap & komuniti serta aktiviti khidmat masyarakat (USR) di sekitar Astaka dan Taman Kebuniti, Puncak Iskandar. Pembentangan cadangan rekabentuk landskap kepada 7 panel penilai dan semua hasil kerja para pelajar dipamerkan di ruang legar Astaka, Puncak Iskandar dan program khidmat masyarakat bersama komuniti setempat yang melibatkan aktiviti-aktiviti gotong royong pembersihan, penanaman pokok, menyemai benih pokok hidroponik serta menuai hasil tanaman sayuran sawi dan kailan diadakan di Taman Kebuniti, Puncak Iskandar.

Selari dengan tema program Unity & Togetherness, aktiviti ini memberi peluang kepada para pelajar untuk menyumbang ilmu, kemahiran dan kompetensi bidang mereka kepada komuniti setempat. Ia juga sebagai inisiatif dalam menyokong Lonjakan Pendidikan Tinggi bagi melahirkan graduan yang holistik, seimbang dengan minda keusahawanan dan kemasyarakatan. Di samping merealisasikan Amalan Pendidikan Berimpak Tinggi (High Impact Educational Practices) dalam membantu masyarakat setempat melalui pelaksanaan CSR/USR serta mecapai PI005 dan PI 075 bagi indeks prestasi UiTM Seri Iskandar, Perak.