Healthy Together Programme

KUALA SELANGOR, 06 Januari 2023 – Pusat Pengajian Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam telah menganjurkan Healthy Together Programme yang bermula pada pukul 10.00 pagi sehingga 4.30 petang yang bertempat di Bilik Seminar 1, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Kampus Puncak Alam Selangor. Seramai 17 orang pelajar kejururawatan semester 5 telah terlibat di dalam program ini. Objektif utama program ini dijalankan adalah untuk melatih daya kepimpinan pelajar kejururawatan dalam mengendalikan program di dalam kampus serta membantu dalam meningkatkan keyakinan diri mereka dengan program yang melibatkan masyarakat. Di samping itu, mereka juga dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam penjagaan kesihatan dan secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar UiTM Puncak Alam dan komuniti luar bagi mengekalkan kesihatan pada tahap yang optimum.

Program ini telah dipimpin oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejururawatan iaitu Puan Norazlina binti Md Jazli selaku penasihat program. Program ini juga melibatkan kolaborasi antara pelajar kejururawatan semester 5 dan juga jawatankuasa perwakilan kolej Zamrud dan Baiduri. Kolaborasi ini telah membantu untuk menarik lebih ramai penyertaan dan secara tidak langsung membantu untuk mencapai objektif utama program ini.

Program ini telah menyediakan beberapa aktiviti berkaitan kesihatan iaitu taklimat pemeriksaan payudara secara kendiri, taklimat pemeriksaan testis secara kendiri dan juga sesi kaunseling berkenaan kesihatan mental. Para fasilitator juga telah menyediakan satu set soalan yang perlu dijawab oleh para peserta sebelum dan selepas sesi taklimat dilakukan. Tujuannya adalah untuk menilai tahap kefahaman mereka terutamanya selepas mendengar sesi taklimat kesihatan tersebut. Sesi soal jawab dan kuiz juga dilakukan untuk memastikan para peserta dapat memahami dengan lebih lanjut akan demonstrasi yang ditunjukkan pada sesi taklimat. Program ini telah berjaya meraih hampir 130 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar dan penduduk di sekitar UiTM Puncak Alam. Peserta menunjukkan minat dan memberikan maklumbalas yang baik sepanjang program ini berlangsung.