Program Sesuci Ramadhan Sebening Syawal 2022


27 April 2022 – Di bulan yang mulia ini iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak, Pusat Pengajian Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG) di bawah Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (USR) telah mengambil kesempatan untuk berkongsi rezeki bersama-sama dengan penerima sumbangan yang terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan (asnaf) di sekitar bandar Jengka iaitu Rantau Perintins, Taman Jengka Indah, Taman Permatang Shahbandar 2 dan Desa Jaya. Sumbangan yang berbentuk bakul makanan dengan nilaian RM100.00 setiap bakul mengandungi makanan seperti pes kuah kacang, biskut raya, kerepek, ketupat dan nasi impit nona dan kordial minuman.

Seramai 25 orang penerima sumbangan yang terlibat dan nama penerima ini diperolehi dari Pusat Zakat, MUIP, Cawangan Jengka Pahang. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan, Rektor, UiTM Cawangan Pahang diiringi oleh Jawatankuasa-jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka. Turut hadir bersama ialah Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (USR) PPPG dan pensyarah-pensyarah PPPG bagi sama-sama menjayakan program ini.

Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (USR), Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG) di bawah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan sentiasa mengadakan program Khidmat Masyarakat bagi memenuhi kriteria KPI fakulti iaitu program atau aktiviti Tanggunggjawab Sosial Universiti (USR) untuk memberi manfaat kepada komuniti dan industri luar dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu SDG 1 (tiada kemiskinan) serta SDG 2 (kelaparan sifar). SDG 1 bertujuan menamatkan kemiskinan dalam semua bentuk di mana-mana, manakala SDG 2 bertujuan mengakhiri kelaparan, mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik.

Perasmian program ini telah berakhir pada pukul 9:20 pagi dengan perlepasan konvoi oleh Yang Berbahagia Prof. di Lobi Pentadbiran dan diiringi oleh Jawatankuasa Eksekutif Negeri. Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi di masa akan datang dan semoga ianya memberi seribu rahmat dan keberkatan buat kita semua.

Tajuk Asal:  Program Sesuci Ramadhan Sebening Syawal 2022 Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (USR) Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.